.: razyana :.

My photo
Kajang, Selangor, Malaysia
HambaNya, Pencinta Rasulullah SAW, Dikurniakan 4 permata berharga, Penuntut ilmu selamanya beserta 4 nilai utama dalam hidup ini, Ketaqwaan kepada Allah, Kecintaan pada Rasulullah, Kasih sayang berkeluarga dan Ilmu sepanjang hayat. Email : ilyana8@hotmail.com, izzar@hotmail.com

Tuesday, March 9, 2010

Bukan senang nak jadi senang, Bukan susah nak jadi susah

Salam,

Sebelum berlepas ke Acheh, suami saya menghantar SMS, "Kasih Sayang diantara suami isteri itu akan menjemput rahmat Allah dan menghapuskan perasaan khianat terhadap keduanya".

Itu SMS terakhir dari beliau. Mungkin beliau sedang sibuk dengan Majlis Silaturrahim dan Muzakarah Ulama Se-Asia Tenggara di Meulaboh, Acheh, Indonesia. Semoga perjalanan beliau diberkati dan dilindungi Allah.

Mengimbas pesanan ringkas beliau, saya terpana memikirkan banyaknya kes-kes syariah di Mahkamah Syariah kini berkenaan kecurangan isteri, walaupun pasangan tersebut telah memiliki 4 orang cahaya mata. Kes isteri curang membawa kepada keretakan hubungan suami isteri. Namun adakalanya, si suami yang masih mempunyai belas dan kasih, tetap akan memaafkan si isteri yang berselingkuh itu dan memberi peluang kepada si isteri.

Di Mahkamah Syariah K lalu, masih terngiang nada sinis Yang Arif, "Suami awak ni hensem, misai mengancam macam Dato K pun, awak masih buat hubungan luar dengan lelaki lain. Pelik sungguh! Kenapa yer?. Awak pegawai bank dan sering berjumpa pelanggan, setakat mana awak menjaga adab awak sebagai seorang isteri yang bekerja? Sebab tu, pada pendapat saya, para isteri lebih baik tugasnya menjaga rumahtangga dan anak-anak. Tugas mencari rezeki adalah tugas si suami. Saya harap awak insaf kerana suami awak yang baik ini juga telah mengampunkan awak. Tapi Allah melaknat isteri yang curang. Apabila berbuat dosa, ingatlah azab Allah."

Kes itu ditutup kerana suami memaafkan, alhamdulillah. Jika tidak, pasti lebih banyak kisah yang terdedah. Adalah lebih baik, jika masalah diselesaikan di luar mahkamah atau melalui Majlis Sulh, tanpa dikhalayak.

Kes yang lain, apabila pada awal perkahwinan, si isteri memberi syarat bahawa hanya selepas 4 tahun perkahwinan, dia ingin memiliki zuriat. Tetapi kini usia perkahwinan telah 8 tahun, si isteri membuat keputusan untuk tidak mahu memiliki zuriat kerana kerjaya sebagai alasan dan mahu mengekalkan bentuk badan serta takutkan kesakitan bersalin. Dalam keadaan si isteri mempunyai tahap kesihatan yang baik. Ya Allah, tak sanggup rasanya saya berdepan dengan kes ini. Si suami yang amat mengasihi si isteri memohon agar isterinya dinasihati, namun andainya si isteri tetap dengan keputusan untuk tidak mahu memiliki zuriat, si suami redha. Namun, apa yang nak saya nasihatkan? Sudah pasti pendirian saya jelas berbeza dengan si isteri. Cuma, apabila mencadangkan agar mengambil anak angkat, si suami tersenyum dengan cadangan yang padanya "tidak akan menyusahkan isteri kesayangannya", si isteri pula terdiam, masih belum memberi sebarang jawapan. Mungkinkah dia tidak mampu bertahan dengan hiruk pikuk suara kanak-kanak yang bermacam kerenah, yang mungkin sebagai alasan tambahan si isteri untuk tidak memiliki anak-anak. Jauh di sudut hati saya agar si isteri bersetuju mengambil anak angkat. Dengan izin Allah, mungkin selepas itu hatinya terbuka untuk memiliki zuriatnya sendiri.

Bila dikisahkan tentang nilai seorang anak yang dikurniakan dan diamanahkan oleh Allah kepada hambaNya, tentang rezeki, keberkatan dan keredhaan. Kata beliau, rezeki, keberkatan dan keredhaan dari Allah boleh diperolehi dari sumber lain. Hmmm, takpela macam tu... Cuma tatkala saya berdoa, saya sisipkan doa untuknya agar dibuka hati untuk memiliki anak angkat (tanpa perlu merasai kesakitan @ nikmat bersalin), di susukan dan diberi kasih sayang agar kemudiannya hatinya berasa bernilainya anugerah zuriat kurnian Allah pada setiap hambaNya.

Mengisahkan juga sidang di Mahkamah Syariah P pada akhir Februari yang lalu, kelihatan ramai "anak dara" dan "teruna" kini bersaing mendapatkan gelaran "Peguam Syarie". Pada zaman saya dahulu, kami dinasihatkan untuk mengalami dahulu pengalaman berumahtangga sebelum menasihati pasangan suami isteri dalam menyelesaikan masalah rumahtangga mereka. Rasai pahit dan manis, susah dan senang hidup bersuami, beristeri, beranak-pinak, bermertua mertui dan beripar duai.

Saya tidak menyalahkan mereka, cuma apa matlamat mereka pada gelaran "Peguam Syarie" itu? Ia satu tugas yang berat pada saya berbanding tugas-tugas yang lain kerana harus berpegang pada hukum-hukum Allah disamping menjaga kemaslahatan sebuah rumahtangga khasnya dan masyarakat amnya. Berapa banyak masalah keluarga islam yang tidak selesai hanya kerana "Peguam Syarie" yang mengejar keuntungan dan kemasyuran. Kes syariah berpoket tebal, akan segera diselesaikan. Kes syariah berpoket rompong, tercicir di sana sini. Maka, kes-kes perkahwinan tidak sah, kahwin bawah umur, penderaan ke atas suami atau isteri atau kes-kes yang biasa melibatkan keluarga berpoket rompong akan tertunda.

Apabila menghadiri satu sesi "mediation", si "Peguam Syarie" yang masih teruna ni bertegang urat menegakkan hujahnya dalam membela anak guamnya yang menuntut fasakh. Fasakh oleh sebab si suami mati pucuk. Itu majlis perbincangan @ mediasi @ sulh, bukan majlis nak bergaduh, maka perlu cari jalan penyelesaian ke arah membaik pulih keadaan dan memberi peluang untuk rawatan (jika benar si suami diagnosis mati pucuk), bukannya mengeruhkan lagi keadaan hingga membawa kepada perceraian sebagai penyelesaian.

Istilah perubatan moden menyebut Mati Pucuk sebagai IMPOTENSI [English : Impotency], manakala Disfungsi Erektil pula untuk Lemah Tenaga Batin [English : Erectile Dysfunction]. Kegagalan zakar untuk mencapai ketegangan atau ereksi, bukanlah satu penyakit, tetapi adalah petanda awal atau akibat susulan dari penyakit seperti Diabetes, Tekanan Darah Tinggi, Penyakit Jantung. Stress, gangguan emosi dan psikologi boleh menyebabkan Kegagalan Ereksi.

Geram melihat sikapnya yang over (maafkan saya jika bahasa ini tidak sesuai), saya mengadu pada mediator bahawa, si peguam syarie teruna ini telah melanggar etika peguam syarie di dalam mediation di mana dia tidak boleh bersikap negatif dan memberikan hujah-hujah negatif. Mediation sebagai satu lapangan di mana korum perlu bersikap positif dan mencari jalan penyelesaian dengan baik melalui perbincangan. Memberi peluang setiap pihak yang terlibat untuk meluahkan isi hati secara tertutup tanpa dikhalayak. Segala yang didedahkan, dibincangkan dan diputuskan adalah "private and confidential". Tetapi, si peguam syarie teruna ini berbetah-betah menunjukkan kehebatannya bercakap.

Saya meminta mediator mengajukan soalan mudah pada beliau bagi pihak saya, "Mati pucuk tu apa?", "Pucuk apa yang mati?" dan "Pernah tak awak merasai dan mengalami sendiri pucuk sebelum mati?".

Si peguam teruna itu terdiam dan meminta soalan diulang. Lantas dia menjawab, "Saya kurang arif Tuan". Si mediator menggeleng-gelengkan kepalanya dan berkata, "Penting juga Peguam Syarie ini dari kalangan yang telah berkahwin. Hukum syariah itu adalah panduan utama, tetapi pengalaman juga penting. Banyakkan belajar lagi yer."

Dalam hati saya berkata, bukan mudah menjadi peguam, lebih-lebih lagi peguam syarie. Banyak ilmu yang perlu dipelajari dan diketahui. Sebab itu, saya ingin terus menuntut ilmu jika diberi peluang oleh Allah. Bukan untuk menjadi kebanggaan, sekadar untuk manfaat anak-anak dan keturunan saya serta menyumbang apa yang boleh kepada Islam. Ameen.

Bila datang pada saya masalah saham, maka kena tahu prosedur SC, BSKL, BNM ataupun Listing Requirement dan sebagainya. Maka, saya menjadi Remiser seketika.

Bila datang pada saya masalah medical evidence, maka kena tahu tentang istilah penyakit dan cara pengubatannya dan sebagainya. Maka, saya menjadi Doktor seketika.

Bila datang pada saya masalah company, maka kena tahu tentang Form 9, Form 24, Form 44, Form 49, M&A dan sebagainya. Maka, saya menjadi Board of Director seketika.

Bila datang pada saya masalah banking, maka kena tahu tentang base landing rate, ceiling rate atau term loan dan sebagainya. Maka, saya menjadi Bank Officer seketika.

Bila datang pada saya masalah tanah, kena tahu tentang power of attorney, lien holder caveat dan sebagainya. Maka, saya menjadi Assistant District Officer seketika.

Bila datang pada saya masalah syariah, kena tahu tentang 'muncikari', 'musahaqah', 'takfir', 'qazaf' dan sebagainya. Maka, saya perlu membuka kitab-kitab feqh dan memohon pertolongan suami tercinta menterjemahkannya. :)

Dan macam-macam masalah lagi yang melanda manusia.

Banyak sungguh masalah dalam dunia ini, maka banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari. Namun, semakin tinggi ilmu seorang manusia itu, semakin hina ia disisi Allah kerana ia tidak akan mampu melampaui dan menjangkau ilmu Allah yang Maha Hebat itu. Maka oleh sebab itu lah, sememangnya tidak layaklah seorang hamba yang berilmu itu merasakan dirinya hebat atas sebab ilmu-ilmu yang dimiliki. (Inilah pesanan dan ungkapan suami saya yang terSayang :)

Subhanallah ... Alhamdulillah ... Allahu Akbar.

2 comments:

Unknown said...

salaam, kak yana.
Semoga kak yana sentiasa diberi kekuatan menggalas setiap amanah. Saya kagum!

Ilyana Ar Razi said...

salam miss frida norm,
setiap insan ada amanah, laksanakan dengan ikhlas dan bersungguh2.
kagumlah dengan Allah yang beri kita semua peluang untuk menikmati nikmat ilmu.
semoga kita boleh saling membantu.

awak tak kenalkan diri lagi,
batch mana?
dan nama penuh?
:)