.: razyana :.

My photo
Kajang, Selangor, Malaysia
HambaNya, Pencinta Rasulullah SAW, Dikurniakan 4 permata berharga, Penuntut ilmu selamanya beserta 4 nilai utama dalam hidup ini, Ketaqwaan kepada Allah, Kecintaan pada Rasulullah, Kasih sayang berkeluarga dan Ilmu sepanjang hayat. Email : ilyana8@hotmail.com, izzar@hotmail.com

Friday, August 13, 2010

Ramadhan Kareem ...

Salam,

Selamat Berpuasa buat sahabat semua. Semoga Ramadhan ini menjadi satu dorongan untuk kita menjadi hamba Allah yang lebih baik dari sebelumnya, dalam ibadat dan akhlak serta umat Rasulullah SAW yang menjadikan Baginda contoh teladan dalam kehidupan.




Selamat Berpuasa buat anak-anak terutamanya, Insyirah dan Abang Amir. Alhamdulillah, Insyirah beroleh kekuatan dan semangat untuk berpuasa selepas melalui hari pertama Ramadhan dengan kepenatan yang amat sangat. Abang Amir hanya mampu bertahan sehingga pukul 1 tengahari di hari pertama, kerana hanya bersahurkan susu sahaja. Kerana penat kelaparan, maka emosi anak-anak terganggu, asyik nak merajuk. Saya dan suami bersabar sahaja kerana sedar bahawa anak-anak ini sedang dalam "fasa pendidikan menahan diri dari makan dan minum serta dari melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa". Di malam hari, Abi mengimamkan anak-anak bersolat terawih 8 rakaat. Alhamdulillah ...

Hari kedua Ramadhan, Insyirah kelihatan semakin ceria dan bertenaga berpuasa. Abang Amir pula masih bertahan melihat kawan-kawannya di tadika menjamah makanan (Dimaklumkan oleh Teacher Yan). Hanya pada pukul 5.30 petang, Abang Amir menyatakan kelaparan yang amat sangat. Akhirnya dia berbuka!

Hari ini hari ketiga Ramadhan, anak-anak bangun sahur seperti biasa. Kali ini mereka makan lebih banyak berserta susu. Doa saya, semoga Insyirah terus bertenaga dan ceria sepanjang hari berpuasa sehingga selesai ibadat solat sunat terawih di malamnya. Untuk Abang Amir, semoga hari ini menjadi hari pertama untuknya berpuasa penuh!

Ramadhan kali ini paling bermakna dan indah kerana saya masih dalam tempoh cuti bersalin. Saya boleh memantau aktiviti Ramadhan anak-anak serta menyediakan juadah berbuka yang "sempurna" untuk suami dan anak-anak. Sempurna bagi saya bermaksud "tanpa menjejakkan kaki ke Bazar Ramadhan". :) Apa yang teringin di makan, dibuat sendiri. Selain berjimat cermat, kami juga mungkin terlepas dari para penjual yang sekadar ingin mengaut untung. Juadah yang dijual telah siap dimasak sejak pagi, kemudian dijual pada waktu petang yang adakalanya makanan itu telah "rosak". Saya geram apabila terkena begitu, namun kena bersabar juga!

Namun, Ramadhan kali ini, Mama Ayah saya ke Mekah lagi menunaikan umrah. Di saat ini, mereka telah selamat tiba di Tanah Suci Mekah. Ketika menghantar mereka di KLIA, pelbagai pesanan yang mereka berikan kepada saya. Saya merasa sayu dan sedih kerana terasa akan berpisah lama dengan mereka. Mereka menyatakan kerinduan untuk berada di Raudhah dan Kaabah dengan semangat ibadat yang berkobar-kobar. Semangat, keceriaan dan kasih sayang mereka berdua membuatkan saya rasa tenang. "Pergilah ke mana sahaja kalian berdua ingin pergi, asalkan kalian merasa bahagia dan tenang dengan kasih sayang yang diberkati Allah".

Rindunya saya ingin "bertemu" Rasulullah dan "berada" di hadapan Kaabah. Kali terakhir ketika menunaikan Haji bersama suami pada tahun 2007 yang meninggalkan seribu satu kenangan paling indah buat saya dan suami. Impian kini untuk membawa anak-anak bersama.

Akhir kata, RAMADHAN KAREEM ...

Wasalam.

No comments: