Rabu 18 Mac 2009 lepas, saya telah menghadiri Seminar Undang-Undang Perlindungan Pengguna Asia Tenggara, Ke Arah Kewujudan Platform Serantau yang diadakan di Bilik Titan, Residence Hotel, UNITEN. Ia dianjurkan oleh Fakulti Undang-Undang, UKM.
Terima kasih atas jemputan profesor semua kerana ia benar-benar memberi manfaat kepada saya. Semoga saya dapat bersama-sama lagi di dalam seminar-seminar ilmiah akan datang.
Ianya dihadiri oleh para pembentang yang terdiri daripada pensyarah Fakulti Undang-Undang yang terlibat di dalam Geran Operasi Universiti Penyelidikan ini. Selain itu para pensyarah undang-undang dari universiti lain juga dijemput seperti dari UIA, UITM dan UM. Memang hebat perbentangan mereka dan diakhiri dengan komen dan idea tambahan daripada para pensyarah dari universiti lain. Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia juga ramai yang hadir sebagai pihak yang akan melaksanakan polisi-polisi yang dicadangkan oleh para pengkaji ilmiah dari universiti.
Tiga perbentangan utama dimulakan oleh PM Dr NIY berkenaan tentang Perbankan Islam & Konvensional serta Sewa Beli (Ijarah). Perbentangan kedua tentang "Product Safety & Product Liability in Malaysia, Singapore, Indonesia & Thailand". Manakala perbentangan ketiga oleh PM Dr SSAY dan Dr RMARM tentang "Alternative Disputes Resolution (ADR) in Malaysia, Singapura, Indonesia & Thailand".
Objektif utama kumpulan penyelidikan ini ialah melibatkan hal ehwal kepenggunaan dari pelbagai aspek seperti "Islamic Banking, Hire Purchase (Ijarah), Product Safety, Product Liability & ADR".
Seperti yang disampaikan oleh Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Pengguna, KPDN&HEPM, tahap kesedaran masyarakat Malaysia sebagai pengguna khasnya masih rendah dalam pelbagai aspek. Setiap dari kita adalah pengguna apabila kita memasuki satu transaksi dengan pihak-pihak yang lain. Dengan sikap "ketimuran" kita yang "tidak kisah" sebenarnya menguntungkan pihak satu lagi atau pengeluar atau sebagainya. Walaupun di negara kita terdapat lebih kurang 50 pertubuhan NGO Pengguna, namun masyarakat masih lesu dalam mempertahankan hak sebagai pengguna.
Kesimpulan yang saya ingin buat hasil dari perbentangan seminar ini ialah dari aspek perbankan kita masih di dalam usaha mengaplikasikan konsep-konsep muamalat ke dalam sistem perbankan dan pembiayaan negara kita. Pengaplikasian telah lama wujud sejak tahun 1999 ia diperkenalkan namun ia masih perlu diperbaiki bagi menjadikan sistem muamalat itu seiring dengan era glabalisasi. Sebagai contoh pemakaian konsep Bai Bithaman Ajil yang dilihat "tidak sesuai" untuk diaplikasikan didalam sistem pembiayaan, kini kebanyakan panel syariah bank-bank di Malaysia sedang mengubah kebanyakan "financing documentation" kepada mengaplikasikan konsep "Musyarakah Mutanaqisah". Saya juga belum habis menelaah setiap dokumen-dokumen baru ini. Maybank Islamic dan RHB Islamic telah berubah kepada konsep muamalat yang baru ini. Saya sedar tanggungjawab saya untuk meneliti setiap isi kandungan dokumen2 berasaskan konsep "Musyarakah Mutanaqisah" ini. Saya sedar, setiap pelanggan @ pengguna tidak pernah mengambil peduli setiap kandungan yang mereka tandatangani, namun sekurangnya saya mampu sedikit sebanyak mendidik dan menyedarkan para pengguna perbankan islam.
Dalam aspek "product safety & product liability" di Malaysia, saya di semester akhir Master membuat kajian ringkas ke atas "Product Safety on Toys", dimana saya mengkaji tahap keselamatan alat permainan kanak-kanak di Malaysia dan kemudiannya dibandingkan dengan kedudukan di Kesatuan Eropah dan USA. Kebanyakan alat permainan di Malaysia diimport dari China yang ada diantaranya dibuktikan "tidak selamat" oleh Malaysian Standards. Terutamanya kandungan plumbum yang tinggi di dalam warna alat-alat permainan tersebut yang memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan penggunanya. Saya kemudiannya mencadangkan satu Kod Etika Alat Permainan Kanak-Kanak Malaysia yang insya allah akan dikuatkuasakan oleh kerajaan dalam tahun ini. Bacaan lanjut, boleh didapati dari koleksi penulisan saya.
Dalam perbentangan kedua tentang "product safety & product liability" oleh PM Dr RI, beliau membandingkan undang-undang yang diguna pakai di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand. Singapura memperlihatkan bagaimana para pengguna sememangnya dilindungi dengan setiap produk yang ada disekeliling mereka. Mereka amat aktif di dalam penguatkuasaan "product recall" dari pasaran, apabila sesuatu produk itu di dapati tidak selamat kepada pengguna. Bacaan lanjut juga bole diperolehi dari saya.
Dalam aspek "ADR" pula, sememangnya Tribunal Tuntutan Pengguna adalah salah satu bentuk ADR, namun kita juga harus mengaplikasikan bentuk-bentuk ADR yang lain seperti "negotiation, mediation dan arbitration" bagi memudahkan lagi para pengguna membuat tuntutan. Singapura sekali lagi amat terkehadapan dalam pengaplikasian ADR ini yang amat memberi manfaat kepada rakyatnya terutama yang miskin dan berpendapatan rendah. Amat menarik melihat bagaimana negara-negara Asean ini menyelesaikan masalah pengguna. Insya Allah akan dibincangkan kemudian.
Apabila mengenangkan kursus "International Trade" saya di semester akhir Master, saya teringat seorang rakan sekelas yang berasal dari Abu Nusayr, Amman, Jordan. Setiap waktu kelas, kami sekelas pasti bertelagah dengan beliau kerana "sikap" beliau. Bermula dengan nasib pengguna di Jordan (saya pernah menjadi pengguna di Jordan) sehingga ke sikap pengeluar @ pekedai di Jordan dan kemudianya meleret ke kisah rokok di Jordan, solat, Saddam Hussain dan Palestine dan kisah-kisah yang menjengkelkan, pasti kemudiannya menaikkan kemarahan seorang lagi rakan sekelas kami dari Iraq. Maka bergaduh lah mereka berdua hingga memualkan kami yang lain sehingga saya perlu meleraikan dengan menggunakan "ayat-ayat Jordan" yang masih saya ingat. Kah kah kah. Akhirnya, sahabat Jordan saya itu berhenti dari kursus kami ini, namun bukan disebabkan kami yerrrr .... tetapi disebabkan masalah beliau dengan sahabat beliau di kursus yang lain. Tinggal kenangan ....
Saya akan sambung lagi kelak untuk kesimpulan dari perbentangan yang telah dibuat.
Saya perlu rehat kerana minggu ini amat memenatkan.
Wasalam.






No comments:
Post a Comment