.: razyana :.

My photo
Kajang, Selangor, Malaysia
HambaNya, Pencinta Rasulullah SAW, Dikurniakan 4 permata berharga, Penuntut ilmu selamanya beserta 4 nilai utama dalam hidup ini, Ketaqwaan kepada Allah, Kecintaan pada Rasulullah, Kasih sayang berkeluarga dan Ilmu sepanjang hayat. Email : ilyana8@hotmail.com, izzar@hotmail.com

Friday, February 5, 2010

Anugerah Ratu Elizabeth

Sumber : Berita Harian, 5 Februari 2010


Noor Zaiton Yahaya

SEORANG pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) dari Malaysia di University of Leeds dipilih sebagai penerima The Queen Anniversary Awards apabila kajiannya mengenai sistem pemantauan dan pengawalan pencemaran udara di kawasan bandar mendapat pengiktirafan Kerajaan United Kingdom.

Noor Zaiton Yahaya, 44, yang juga pensyarah Fakulti Sains Kejuruteraan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dipercayai menjadi rakyat Malaysia pertama menerima anugerah berprestij itu yang akan disampaikan Ratu Elizabeth di Istana Buckingham pada 19 Februari ini.

Noor Zaiton adalah antara dua pelajar PhD antarabangsa di Institut for Transport Studies (ITS) universiti berkenaan, yang layak menerima pengiktirafan berkenaan.ITS yang mempunyai 35 pelajar PhD dari seluruh dunia, adalah institusi penyelidikan sistem pengangkutan awam dan pengawalan pencemaran terbesar di Eropah serta menjadi pusat rujukan global.

Tahun lalu, Noor Zaiton turut diberi penghormatan menyampaikan ucaptama dalam persidangan antarabangsa Urban Environmental Management and Air Quality in Less Developed Countries di Copenhagen, Denmark.

Noor Zaiton ketika dihubungi, berkata pengiktirafan itu meletakkan nama negara di peringkat antarabangsa. "Setakat ini, saya belum pernah dengar mana-mana pelajar Malaysia menerima anugerah berprestij ini dan saya sangat bersyukur kerana terpilih menerimanya. Ia adalah kejayaan negara dan UMT.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan yang menaja saya belajar di sini dan juga keluarga terutama suami," katanya. Noor Zaiton berkata, beliau akan memperkembangkan hasil kajiannya untuk diguna pakai di Malaysia sekembalinya ke tanah air selepas menamatkan pengajian. "Saya banyak menerima tawaran untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk meningkatkan taraf pengawalan pencemaran udara dan akan cuba menggunakan kepakaran yang ada di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof Dr Aziz Deraman, berkata pengiktirafan itu memberi peluang kepada penyelidik lain untuk pergi lebih jauh dalam usaha mereka meneroka ilmu dan teknologi baru untuk dimanfaatkan bersama.

Dr Aziz berkata, kejayaan Noor Zaiton juga dapat menyuntik semangat pelajar PhD lain dalam meningkatkan usaha menjayakan penyelidikan yang dapat dimanfaatkan bagi membantu kerajaan membangunkan negara. "Pengiktirafan itu membolehkan negara memiliki pakar dalam sistem pengawalan pencemaran dan diharap sebaik menamatkan pengajian, pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh itu dapat dikongsi bersama dalam memperkemaskan pengurusan alam sekitar," katanya.

Tahniah ...

Saya bangga dengan beliau, dalam usaha beliau menuntut ilmu untuk menyumbang kepada Islam. Inilah dia "Ilmu yang Bermanfaat untuk Dimanfaatkan".

Semoga beliau menjadi pendorong dan pemangkin semangat kepada penuntut-penuntut PhD Islam Malaysia (khasnya) yang lain sama ada yang sedang menuntut atau bercadang untuk melanjutkan pengajian.

Walaupun bidang sumbangan beliau adalah bidang sains dan teknologi, bidang-bidang lain juga mempunyai peranan masing-masing dalam membantu menyumbang kepada Islam.

Tokoh-Tokoh Sains Islam seperti Ibn Bajjah, Ibn Maskawaih, Ibn Haitham, Jabir Ibn Haiyan, Badi'uzzaman Sa'id Nursi, Ibn Rusyd, Al-Ghazali, Al-Farabi, Ibn Tufail, Ibn Qayyim, Al-Biruni, Al-Razi, Ibn Sina, Ibn Khaldun dan ramai lagi menyumbang kepada perkembangan Islam dalam bidang masing-masing.

Tidak termasuk lagi para ulama Islam di serata dunia yang menyumbang dan membantu mempertahankan Al Quran dan Islam di dunia ini.

Dan yang pasti sumbangan Rasulullah SAW, kekasih Allah dan para Rasul / Nabi yang lain kepada Islam yang perlu kita susuri dan hayati.

Bagi wanita yang bergelar ibu terutamanya, renungkan pula, apakah sumbangan kita kini, seandainya kita tidak mampu / tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Master @ PhD?

Seandainya kita tidak mampu menjadi sebahagian daripada mereka yang pastinya dipilih dari kalangan yang terbaik oleh Allah, sekurangnya berusahalah kita mendidik anak-anak @ zuriat kurnian Allah kepada kita untuk bersiap sedia menghadapi Akhirat.

Sumbangan dalam melahirkan dan mendidik pejuang-pejuang Islam akhir zaman juga adalah sumbangan yang amat bernilai untuk Islam dan mereka juga adalah sebagai bekalan yang bermanfaat untuk kita bawa ke Akhirat kelak.

Mendidik anak-anak kelihatan mudah (kononnya), lebih-lebih lagi di dunia yang serba moden kini. Hakikatnya tidak ... bukan mudah seperti yang disangka. Sering terngiang di telinga saya pesanan suami tersayang, "Mendidik dan membesarkan anak untuk dengan niat menjadi Pejuang Allah, bukanlah mudah. Ia juga satu perjuangan hebat untuk ibubapa. Samada dugaan Allah pada ibubapa itu atau pada anak itu sendiri. Jadi, bersabarlah sayang ...".

Memang benar kata-kata itu. Memang mudah membiarkan alam mencorakkan anak-anak. Maka, terciptalah sifat-sifat manusia yang menyerupai alam. Sedangkan manusia adalah ciptaan Allah paling hebat, mengapa perlu alam dijadikan contoh?. Walaupun alam ini perlu dikasihi dan dijaga kerana ia juga milik Allah, namun akal yang Allah bekalkan pada manusia perlu diguna sebaik mungkin. Itu yang membezakan manusia dengan alam.

Namun, alam yang tidak berakal itu AMAT TAAT pada Allah dalam melaksanakan tugas mereka. Pokok membekalkan oksigen untuk bernafas, buah untuk dimakan dan dahan untuk berteduh. Gunung sebagai pasak bumi ini. Air membekalkan minuman. Tetapi manusia yang Allah berikan akal, MASIH TETAP INGKAR dengan perintah Allah. Tidak mematuhi rukun-rukun di dalam Iman dan Islam. Tidak mematuhi suruhan Allah.

Mendidik anak-anak ini merangkumi pelbagai aspek. Pelajarilah satu persatu dan aplikasikan kepada anak-anak bersesuaian dengan umur dan perkembangan mereka. Asas utama pendidikan ialah kasih sayang dan sabar. Dengan kasih sayang dan sabar, insya allah setiap ibu bapa mampu memaut hati-hati anak-anak.

Walaupun memang sukar, faktor-faktor yang membantu dalam proses mendidik ini ialah :-

- Usaha dan doa
- Solat Sunat Tahajjud / Hajat / Taubat
- Solat Berjemaah
- Makan bersama (Setalam lagi baik)
- Persefahaman suami isteri
- Kasih sayang suami isteri (anak-anak sentiasa memerhati)
- Kerjasama suami isteri dalam menjalankan tugas rumahtangga
- Kesabaran
- Pandai memujuk (kanak-kanak mudah terasa dan merajuk)
- Ganjaran kecil
- Kata-kata semangat dan pujian
- Dan sebagainya

Bagi saya tiada yang lebih berharga dalam kehidupan kita ini selain keredhaan dari Allah, suami dan ibu bapa, anak-anak yang soleh solehah sebagai bekalan untuk Akhirat, hati dan jiwa yang penuh dengan kasih sayang yang diberkati serta iman dan takwa yang mendorong untuk ibadah kepada Allah.

Saya tidak sempurna. Saya juga masih dalam pembelajaran mendidik anak-anak. Bersama-sama mereka setiap saat dan detik meniti kedewasaan. Sentiasa rasa gusar dan gentar memikirkan hari esok yang bakal menduga dan mendatang. Namun, saya sentiasa berdoa agar berjalan merentasi masa dengan bimbingan, pimpinan dan kasih sayang Allah. Ameen ...

Berbanding para lelaki, mungkin ada bidang tugas yang meletakkan PhD sebagai syarat. Maka diharap, bukanlah PhD @ gelaran Doktor yang dikejar tetapi nilai ilmu yang diperolehi. Sebagai isteri, sokong dan bantulah dengan kasih sayang, agar mereka (para suami) sentiasa berada dalam lingkungan niat yang benar untuk menuntut ilmu. Ini kerana setiap usaha dan sumbangan kecil si suami kepada Islam itu juga memberi manfaat pahala kepada para isteri.

Kasih sayang itu titi
Kasih sayang penghubung hati
Kasih sayang itu tali
Kasih sayang pengikat diri

Dari kasih timbul simpati
Dengan sayang ada persaudaraan
Kerana kasih ingin berbakti
Saling sayang ma'af mema'afkan

Kasih sayang itu baja
Kasih sayang penyubur jiwa
Kasih sayang itu penawar
Penguat cinta penghapus duka

Kasih manusia sering bermusim
Sayang manusia tiada abadi
Kasih TUHAN tiada bertepi
Sayang TUHAN janji-NYA pasti

Tanpa kasih sayang TUHAN
Tiada simpati tiada persaudaraan
Tanpa kasih sayang TUHAN
Tiada bakti tiada kema'afan

Kasih sayang pada semua
Kasih sayang sesama kita
Kasih sayang oooo dunia
Moga selamat di Akhirat sana

Wasalam.