Kali ini Abi membawa kami ke Melaka. Kali terakhir kami berdua ke Bandar Hilir, Melaka ialah pada awal perkahwinan, masih berdua :). Kini kami membawa 3 orang cahayamata tersayang.
Saya dan suami sememangnya amat meminati sejarah. Adakalanya, setiap perjalanan kami ke suatu destinasi, akan melalui jalan lama berbanding menggunakan lebuhraya. Di sepanjang jalan lama, jika terlintas tempat-tempat yang pernah menempa sejarah, pasti suami saya akan singgah. Adakalanya memenatkan :). Sama seperti ayah saya dahulukala, setiap kali berjalan, mesti nak singgah MUZIUM! Kerana subjek kegemaran ayah saya ialah Sejarah dan Geografi. Syukur juga, tugasan beliau memberi beliau peluang berjalan ke serata dunia, jadi banyak kisah dan kenangan yang beliau simpan.
Saya masih ingat suatu ketika dahulu, jika berkelah di laut, saya akan diulang tunjuk yang mana teluk, yang mana tanjung, yang mana pantai, yang mana muara dan sebagainya. Serta membezakan setiap kedudukan geografi setiap tempat ciptaan Allah itu. Sehinggakan bila bercuti ke luar negara, yang paling penting bagi beliau ialah sejarah dan geografi.
Namun benar, sejarah dan geografi akan mengajar kita tentang satu tamadun dan bangsa. Dan dari situ Allah telah memperlihatkan sesuatu peristiwa yang boleh dijadikan panduan serta diambil iktibar. Subhanallah ...
Banyak berjalan menyusuri dunia ciptaan Allah, luas pengetahuan dan pengalaman untuk dijadikan panduan dan iktibar.
Anak-anak saya juga harapnya mengambil tahu tentang sejarah. Apa jua sejarah manusia, agar ia boleh menjadi antara penilaian dalam kehidupan ini untuk dijadikan panduan dari suatu kejayaan sejarah ataupun diambil iktibar dari suatu kegagalan sejarah.
Yang telah berlaku walaupun seminit yang lalu adalah sejarah. Sejarah yang mungkin akan diingati dan dikenang sampai bila-bila atau satu sejarah yang sekadar berlalu tanpa erti.
Bandar Hilir, Melaka yang saya lawati dahulu, telah berubah kini. Tenggelam dengan kemodenan. Bukannya dahulu tidak moden. Cuma, kemodenan kini lebih ke arah material. Penuh dengan tempat membeli belah. Kami mengomel berdua, "Tak penat ke diaorang ni nak membeli belah sepanjang masa? :)".
Apabila bangunan moden memenuhi bandar yang tidak berapa besar itu, pastinya keadaan menjadi sesak. Semua jalan menjadi satu hala, menjadikan perjalanan itu satu pusingan untuk ke satu tempat yang sama.
Kesultanan Melayu Melaka diasaskan oleh Parameswara di antara tahun 1400 hingga tahun 1403. Menurut Sejarah Melayu, Parameswara yang dilahirkan sebagai Dharmaraja adalah Raja Singapura terakhir yang berasal dari keturunan Srivijaya. Menurut Sejarah Melayu ("Malay Annals") yang dikarang oleh Tun Sri Lanang pada tahun 1565, Parameswara melarikan diri ke Muar tetapi diganggu oleh biawak yang tidak terkira banyaknya. Penetapan di tempat yang kedua di Kota Burok juga gagal kerana kubu pertahanan yang mereka cuba mendirikan runtuh dengan serta merta. Kemudian Parameswara berpindah ke Sening Ujong. Setelah berada di sana, beliau melantik seorang menteri untuk mewakili dirinya dan kemudiannya beliau tiba di Sungai Bertam, iaitu suatu kawasan persisiran pantai. Ketika itu, orang-orang Seletar mendiami di situ dan mereka meminta Parameswara menjadi raja.
Semasa berburu di muara Sungai Bertam, Parameswara ternampak seekor pelanduk menendang salah seekor daripada anjing-anjing pemburunya. Parameswara tertarik dengan kegagahan pelanduk itu lalu beliau memutuskan membina sebuah penempatan di kawasan tersebut. Selepas menanyakan nama pokok (Pokok Melaka) yang diteduhnya, Parameswara menamakan tempat itu "Melaka".
Parameswara memeluk Islam pada tahun 1409 dan telah menggelar diri baginda sebagai Raja Iskandar Syah.
Pemerintahannya itu berkembang dengan pesat dan menjadi sebuah pelabuhan yang terpenting di Kepulauan Melayu pada abad ke-15 dan ke-16. Tambahan pula, Melaka merupakan tempat perdagangan rempah dengan berfungsi sebagai pintu kepada negeri-negeri rempah untuk memasarkan rempah mereka. Ini dapat digambarkan menerusi Duarte Barbosa yang berkata, "Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia" (He who is lord of Malacca has his hand on the throat of Venice.)
Faktor-faktor yang menyumbang kepada Melaka menjadi sebuah negeri yang maju adalah kerana pelabuhannya terlindung daripada ancaman Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut. Pedagang-pedagang dari Jawa, Arab, India, China dan lain-lain dapat berlindung di Melaka sehinggalah keadaan selamat untuk mereka ke laut semula. Semasa pemerintahan Parameswara, ramai orang Cina menetap di Melaka, berdekatan kawasan Bukit Cina yang mempunyai feng shui yang terbaik pada masa itu.
Sehinggalah pada tahun 1509, Diego Lopez de Sequiera dengan 18 buah kapal dari Angkatan diRaja Portugal tiba di Melaka. Mereka merupakan orang Eropah pertama yang tiba di Asia Tenggara dan digelar "Benggali Putih" oleh orang tempatan. Oleh kerana orang-orang Portugis membuat kacau di Melaka seperti mengusik gadis-gadis dan mencuri, disamping perselisihan faham, Sultan Mahmud Shah kemudiannya mengarahkan supaya orang-orang Portugis dihalau dari Melaka. Angkatan Portugis diserang dan 20 anak kapalnya ditahan.
Pada 10 Ogos 1511, sebuah armada laut Portugis yang besar dari India diketuai oleh Alfonso de Albuquerque kembali ke Melaka. Albuquerque membuat beberapa permintaan membina markas Portugis di Melaka tetapi permintaannya ditolak oleh Sultan Mahmud Shah. Selepas 10 hari mengepung, pihak Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada 24 Ogos. Sultan Mahmud Shah terpaksa melarikan diri ke Pahang di pantai timur di mana beliau gagal dalam percubaannya mendapat pertolongan daripada negera China.
Kemudiannya, Sultan Mahmud Shah berpindah ke selatan dan mengasaskan Kesultanan Johor sebagai pusat dagangan saingan kepada Melaka. Dengan ibu kotanya di pulau Bentan yang terletaknya berdekatan dengan Temasik (Singapura), beliau terus menerima ufti dan kesetiaan dari kawasan-kawasan sekeliling yang diberinya sewaktu beliau masih menjadi Sultan Melaka. Sultan Mahmud Shah menjadi ketua gabungan Melayu dan berkali-kali menyerang Melaka. Pada tahun 1525, Laksamana Hang Nadim berjaya mengepung Kota A Famosa sehingga pihak Portugis terpaksa membuat catuan makanan dari Goa.
Kini, di Bandar Hilir, Melaka yang tinggal hanyalah tinggalan pintu kota yang dipanggil Porta de Santiago di A Famosa yang bersebelahan dengan Gereja St Paul @ Gereja Merah yang bercat merah keseluruhannya. A Famosa dibina atas arahan dan kerahan Alfonso de Albuquerque pada 1511, yang juga menjadi antara sebab kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka. Namun, A Famosa dirobohkan oleh pihak British!
Kami tidak menjumpai jalan ke Binaan Istana Melaka yang dibina semula mengikut Istana Sultan Mansor Syah sedangkan rasanya dahulu ia terletak berhampiran dengan A Famosa.
Tak puas berjalan dalam kesesakan jalan dan manusia serta kesuntukan masa. Kami berjanji pada anak-anak akan kembali ke Melaka dan 'mengambil iktibar' dari sejak kegemilangan hinggalah ke saat kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.
Setiap "Melayu" perlu belajar sekurang-kurangnya dari sejarah Kesultanan Melayu Melaka agar agama Islam dan bangsa Melayu tidak akan "dijajah" sekali lagi. Telah dijajah atau mungkin terus dijajah dan dijajah oleh sesiapa pun yang boleh menjadi penjajah.
Kami takut dan gusar tidak sempat memperlihatkan asal usul Muara Sungai Bertam itu pada anak-anak, kerana dalam tempoh masa 5 tahun kebelakangan ini juga, segalanya telah terkambus dengan kemodenan atas sifat material manusia itu sendiri. Adakah anak-anak kecil pada 10 tahun akan datang hanya mampu membaca Buku Teks Sejarah KBSM untuk mengetahui sejarah bangsanya sendiri tanpa bukti nyata untuk dihayati dengan mata, sentuhan dan perasaan yang sebenar.
Janganlah dibandingkan penghayatan sejarah Melaka ini dengan sirah Rasulullah SAW. Kita dididik untuk mencintai insan yang dicintai Allah iaitu Nabi Muhammad SAW, maka pendidikan kepada anak-anak tentang sirah Rasulullah SAW wajib menjadi subjek wajib untuk setiap yang bernama manusia. Pelbagai kaedah yang boleh kita lakukan untuk kita menyatakan cinta pada Rasulullah SAW, walaupun kita tidak bersama baginda pada zaman kehidupan baginda, namun kita semua amat berharap untuk bersama berdampingan dengan baginda di akhirat kelak.
Sejarah Parameswara atau Alfonso de Albuquerque hanyalah sekadar sesuatu yang Allah paparkan untuk dijadikan iktibar untuk kita sebagai manusia di zaman ini. Ianya ilmu dari Allah jua yang tidak sia-sia untuk kita pelajari sebagai meningkatkan sifat kehambaan kepada Allah.
Berehat di hotel ...
Makan Tengahari di Kampung Sawit yang berada dalam ladang kelapa sawit. Menjamah Asam Pedas yang dikatakan popular di Melaka, namun tidak mampu menandingi Asam Pedas Ikan Bagok masakan arwah Uwan. :)
Berkelah dulu di Pantai Angkat, Sungai Tuang. Berhampiran dengan Tanjung Bidara, Pengkalan Balak dan Teluk Gong.
Semoga kita belajar menghayati setiap yang Allah tinggalkan sebagai membuktikan kewujudanNya serta kekuasaanNya ke atas diri kita dan muka bumi ini dan meningkatkan sifat kehambaan kita sebagai manusia.
Wasalam.






No comments:
Post a Comment