Salam,
Sejak 2 minggu lepas saya tidak bertandang ke blog sendiri, inikan pula nak menjengah ke blog sahabat-sahabat. Kesibukan ...
Abi yang kurang sihat, bertungkus lumus menyiapkan pindaan Tesis, kerana perlu di hantar ke Jordan melalui Dr. Majali yang datang ke UKM sebagai Prof. Malim. Namun, alhamdulillah siap juga. Cuma bantuan seterusnya oleh Ust Najib yang berada di Amman. Syukran Ust! Semoga Allah permudahkan setiap urusan Ust, Ayu dan Abang Uwais.
Menemani hubby mengumpul bahan untuk seminar
Kerja yang banyak di pejabat. Alhamdulillah ... rezeki. Yang penting laksanakan tugas dan tanggungjawab dengan amanah dan ikhlas.
Cuma, kes-kes Syariah banyak juga mendatang. Itu yang paling mencabar. Saya sebenarnya tak berminat sangat nak "berbicara" di Mahkamah Syariah, kerana betul la kata-kata orang yang bernada sinis, tempat bersuka ria para Syaitan Laknatullah adalah Mahkamah Syariah kerana setiap hari berpuluh Lafaz Cerai dilafazkan. Hati saya berdegup kencang dan rasa sebak ingin menangis. Kerana runtuh lagi berpuluh-puluh masjid ...
Apabila berdepan kes Syariah, saya lebih kepada khidmat nasihat mencari jalan penyelesaian. Saya "kurang" suka prosedur-prosedur Mahkamah yang manusia tetapkan, kerana "kurang" bermatlamat untuk maslahah umat Islam. Namun, siapalah saya untuk mempertikaikannya kerana adanya 'Yang Arif Lagi Bijaksana' serta 'Rakan-Rakan Peguam Yang Bijaksana'. Walaupun perit mendengar natijah-natijah Yang Arif Lagi Bijaksana, itu tanggungjawab yang perlu saya pikul. MAAF! saya tidak bertujuan "menghina" sesiapa, sekadar manusia yang di bawah memberi pendapat dan pandangan. Walaupun begitu, saya akui Mahkamah Syariah sebagai simbol keadilan Islam.
Namun, saya tidak bergelumang dengan kes syariah setiap masa. Syukur ada kes-kes corporate, islamic finance dan islamic capital market yang complicated dan bermain dengan nombor yang menyenangkan hati dan tak perlu terbawa-bawa sehingga ke mimpi.
Semangat untuk menyambung PhD datang mendadak, setelah melihat jalan yang Allah tunjukkan. Namun saya akur, walaupun jalan itu ada dan Insya Allah pasti ... perjalanan PhD hubby paling penting dan utama. Andainya, perjalanan beliau dilorongkan ke jalan saya, maka saya berpeluang untuk terus belajar dan menyumbang sedikit untuk Islam. Andai tidak diizinkan juga melalui beliau, saya redha. Dan itu pasti yang terbaik dari Allah untuk saya.
Namun, dokumentasi saya dah siap sedia, cuma proposal kajian masih dalam usaha baik pulih dengan bantuan pensyarah-pensyarah saya. Ya Allah permudahkanlah urusan suami ku agar perjalanan ku seiring dengannya.
Insyirah mulai Final Exam hari ini. Maka, sibuk pula dengan urusan menyediakan Insyirah untuk exam tadika beliau. Bersiap sedia dengan ejaan BM, BI, Jawi & Bahasa Arab yang saya tampal di pintu almari. Membeli buku-buku latihan @ kerja untuk dia berlatih tubi. Saya yang berdebar-debar. Namun, Insya Allah, Insyirah dan bersedia. Allah lapangkan hati dan fikiran kakak untuk menjawab dengan baik.
Insyirah juga telah mula latihan sebagai solo untuk NASYID UMMI oleh HADDAD ALWI untuk Majlis Konvokesyen Restu Kids 2009. Alhamdulillah dia dah hafal. Setiap hari berlatih menyanyi dengan saya sehingga serak suara. Katanya, Nasyid Ummi ni khas untuk saya, UMMI TERSAYANG. Terharu ... Nanti umi akan rakam dan simpan dalam Laman Kasih ini buat kenangan kakak yang tersayang.
Abang Amir dan Isyraf bersilih ganti demam panas sehingga penuh ulser di mulut. Isyraf paling kesian. Menjelir lidah, menunjukkan ke arah saya sambil menyebut "akit ... akit ..." (sakit). Isyraf tidak boleh makan dan minum, hanya bergantung kepada susu saya. Selepas itu Abang Amir pula demam panas dan sakit tekak. Air liur berkumpul kerana sakit jika ditelan.
Tidak tahan melihat kesakitan anak-anak, saya membawa mereka ke Darul Syifa di Bandar Baru Bangi kelmarin, setelah habis ubat demam dan antibiotik dari klinik. Si ustaz mengunakan jari telunjuk beliau dan memasukkannya ke dalam mulut Abang Amir dan Isyraf sambil mengerakkannya di sekeliling mulut atas bawah, kiri kanan sambil berdoa, Alhamdulillah dengan izin Allah juga, keesokannya anak-anak saya dah boleh menjamah makanan. Saya bersyukur melihat anak-anak kembali aktif.
Dalam masa itu juga sibuk menguruskan rumah-rumah kami. Targetnya perlu ada penyewa sebelum November ini agar rumah-rumah itu membiayai diri mereka masing-masing. Harap-harapnya, urusan rumah-rumah ini selesai sebelum akhir tahun dengan penyewa yang bertimbang rasa dan bertanggungjawab.
Saya berdoa segalanya berjalan dengan baik dan berakhir dengan baik, kerana Allah pasti beri yang terbaik untuk hamba-hambaNya yang berusaha. Ameen.
Wasalam.






No comments:
Post a Comment