Minggu yang agak penat bagi Insyirah kerana Sukan Tahunan sekolah yang berlangsung pada Sabtu lepas.
Isnin lalu anak-anak bersama saya ke Kuantan, Pahang kerana urusan pejabat. Saya telah memaklumkan guru kelas Insyirah melalui sms tentang ketidakhadiran ke sekolah. Sambil bekerja, dapat juga bercuti bersama anak-anak. :)
Insyirah mengadu kepenatan menghadapi latihan sukan setiap hari sepanjang minggu. Insyirah rumah MERAH! Sama dengan Cikgu Redzuan, guru Matematik beliau yang amat popular dicelotehkan oleh Insyirah kepada saya setiap hari. :).
Bila terpilih untuk mewakili peserta perempuan Tahun 1 bagi Rumah Merah untuk acara lari 80 meter di peringkat akhir pada hari sukan iaitu kelmarin, beliau gelisah ...
Namun rupanya, Insyirah masih perlu menyertai Pertandingan Akhir acara Tarik Tali antara Rumah Merah dan Rumah Hijau untuk menentukan tempat pertama dan kedua. Saya tidak terbayang bagaimana Insyirah yang "halus" itu akan menarik tali yang sama besar dengan pahanya. Kesian sungguh! Namun itulah saat-saat yang saya tunggu.
Saya yang bersemangat memberi semangat kepada anak-anak Tahun 1, Rumah Merah. Insyirah tersenyum gembira melihat saya "melonjak-lonjak" memberinya semangat. Barulah Insyirah kelihatan ceria. Kalau tidak ... berdebar memanjang, takut kalah!
Namun, akhirnya KALAH jua ... Insyirah kelhatan masih ok. Cuma kawan-kawannya yang lain mulai menangis kerana RUMAH MERAH KALAH dalam Tarik Tali Tahun 1 ini.
Insyirah meluru memeluk saya dan berbisik, "Rumah kakak kalah umi". Nada Insyirah agak sedih tapi syukur beliau tidak menangis seperti yang lain. Saya memeluk dan memujuk beliau, "Rumah kakak tak kalah, dapat No. 2, maknanya menang dari rumah yang dapat No. 3 dan No. 4. Jangan sedihlah, rumah kakak dah berlatih kan, dah usaha, itu yang penting." Insyirah masih monyok, kembali kepada kawan-kawannya yang kesedihan kerana kekalahan. Jenuhlah cikgu-cikgu memujuk anak-anak yang menangis itu. :) Abang Amir yang tidak menyertai juga kelihatan sedih kerana Rumah Merah kakaknya kalah dalam tarik tali. Saya bertanyakan kenapa Abang Amir pula yang sedih, dia membalas, "Abang sedih sebab rumah kakak kalah umi, sian kakak".
Mungkin anak-anak yang baru berusia 7 tahun itu merasa peritnya kekalahan @ kegagalan tarik tali. Namun, mereka juga pasti belum mengetahui hikmah disebalik sebuah kekalahan @ kegagalan. Mereka masih terlalu kecil untuk memahami hakikat sebuah kegagalan kerana di jiwa mereka penuh rasa persaingan untuk berjaya.
Insyirah begitu jua, berulang kali mempertikaikan "kekalahan" Rumah Merah. Puas saya memujuk, namun dia masih kelihatan kecewa. Namun ada hikmah di sebalik kekalahan tarik tali ini. Insyirah semakin sedar bahawa pentingnya usaha dan doa untuk berjaya. Saya mengaitkan kekalahan itu dengan perlunya usaha dan doa pada Insyirah. Kalau kita kalah tanpa usaha dan doa, maka berpadanan dengan natijah kekalahan itu. Tetapi kalau kita kalah jua selepas usaha dan doa, itu tidak bermakna kita telah gagal tetapi dengan kasih sayang dan ketentuan Allah ada kejayaan lain untuk kita.
Insyirah akhirnya berkata, "Nak berjaya, kena usaha la kan, pastu kena doa pada Allah banyak2". Saya tersenyum mengangguk. Biarlah dia menerima hakikat kekalahan tarik tali itu sebagaimana yang dia fikirkan. Yang penting saya tidak mahu dia meletakkan kekalahan tarik tali itu adalah tanda kelemahan dirinya semata.
Kesannya, bila sekembali dari sukan, dia sibuk menyiapkan buku latihan baru yang saya beli di Hari Sukan Sekolah. Saya menghadiahkan kepadanya kerana dia berani menyahut cabaran untuk menyertai tarik tali. Akibatnya, saya pula "tidak tahan" melayan kehendak beliau yang inginkan saya duduk semeja melihat beliau membuat latihan latih tubi setiap subjek, kerana banyak kerja rumah yang perlu saya siapkan di hujung minggu itu. Namun, itulah natijah kekalahan tarik tali yang amat saya syukuri. Adakalanya kesedihan membuatkan hati kita mencapai satu kesedaran!
Usaha dari beliau, semangat dan kasih sayang telah saya berikan serta kejayaan dari ALLAH!
Isyraf yang sukakan air. Tidak mahu dikawal oleh abinya. Saya memang tak larat menjaganya ketika di dalam kolam. Macam pandai berenang ajer!
Abang Amir yang telah seminggu kurang sihat, bila bertemu kolam renang, kembali segar :)
Anak-anak dengan Nasi Lemak, makanan kegemaran mereka
Abi melayan Isyraf yang pandai makan sendiri, tak suka disuap
Insyirah di dalam khemah RUMAH MERAH
Beratur selepas menerima hadiah
Insyirah tersenyum melihat Umi nya yang "terlebih bersemangat"
Apapun, kakak telah berjaya menarik tali :)






No comments:
Post a Comment