Salam,
Sabtu malam Ahad yang lalu, saya dan anak-anak mengikuti suami saya ke satu program yang diadakan di Sungai Congkak. Walaupun siangnya saya amat penat membasuh baju koleksi seminggu, membersihkan rumah, bilik air (paling utama :), memeriksa buku-buku Insyirah, memasak dan sebagainya, saya gagahkan jua untuk menemani beliau. Niat saya hanya satu, ingin menuntut ilmu.
Tajuk yang disampaikan oleh suami pada malam itu ialah berkenaan "Syahadah". Satu tajuk yang pertama kali saya mendengarnya dari mulut suami berbanding tajuk-tajuk yang lain yang ada di antaranya saya sudah hafal apa yang suami sampaikan.
Tajuk "Syahadah" oleh suami kali ini amat memberi kesan yang mendalam kepada hati saya. Setiap bait-bait ulasan suami yang bersemangat dan mendalam masih kekal dalam sanubari saya.
Seperti kebiasaan, setiap kuliah yang suami sampaikan, kebanyakannya akan berkait dan ditujukan kepada saya dan anak-anak secara tidak langsung. Itu yang membuatkan saya mengingati setiap bait beliau, namun tak mampu nak menulis semula di blog ini untuk tatapan anak-anak kerana kekangan masa. Harapan saya suatu hari nanti, nota-nota kuliah suami saya dapat saya abadikan di sini untuk rujukan dan ingatan buat anak-anak saya.
Adakalanya, apabila bait-bait kuliah suami "mengenai" diri saya, saya berasa terkesan dan mengalirkan air mata. Namun, segara saya seka agar tidak terus mengalir. Kerana terasa dhaif dan kerdilnya saya disisi Allah yang Esa.
Dalam kuliah "Syahadah" itu suami menerangkan tentang Rukun Islam sebagai muqadimah. Mengapa "Mengucap dua kalimah syahadah" itu menjadi Rukun Islam yang pertama.
Suami saya menyoal tentang "Bilakah kita ber"syahadah"?". Bermacam-macam jawapan yang para jemaah berikan. Ada yang menggeletek hati.
Kemudian suami menerangkan bilakah kita sebagai manusia "DIWAJIBKAN" dan "DISUNATKAN" bersyahadah.
Seterusnya suami menerangkan tentang "Syahadah Wajib" dan "Syahadah Sunat".
Ketika suami menerangkan tentang "Syahadah Sunat", saya terkedu ...
Saya telah mengalami "kesan" Syahadah Sunat, namun baru di majlis ini suami saya menerangkan kepada saya tentang Syahadah Sunat itu.
Beliau menyuruh saya melakukan / mengamalkan Syahadah Sunat sejak sekian lama tanpa menerangkan mengapa saya perlu berbuat demikian. Pada malam itu, barulah saya memahami apa yang saya lakukan selama ini, keperluannya dan kesannya yang telah saya alami terlebih dahulu. Alhamdulillah ...
Ada jemaah yang menanyakan kepada suami, "Apa yang Ustaz rasa selepas "bersyahadah" itu?". Suami saya membalas, "Saya rasa seperti baru masuk islam".
Soalan lain, "Jadi saya ni bagaimana? Selama ini tidak "bersyahadah" walaupun saya ni islam". Suami membalas, "Kita berdosa, namun itu atas sebab kejahilan kita sebagai manusia. Namun kini kita sudah ada ilmu yang boleh membersihkan kejahilan itu. Mengetahui kejahilan itu adalah suatu ilmu. Tidak mengetahui kejahilan diri itulah kemuncak kejahilan dan kejahilan itu adalah kegelapan dosa."
Suami kemudiaannya memandang pada saya dan berkata, "Betul tak umi?". Saya hanya mampu mengangguk dan tersenyum. Kerana beliau telah tahu saya telah merasainya.
Selepas itu, ada jemaah yang bertanyakan saya, "Apa yang Puan rasa selepas "bersyahadah"?. Saya tak tahu nak terangkan bagaimana, kerana ia akan berbalik kepada keadaan individu itu sendiri. Yang mampu saya balas, "Ustazah cubalah buat yer, saya tak tahu nak terangkan bagaimana. Sebabnya, pada hari ini, baru lah suami saya terangkan apa yang saya diminta buat itu adalah "bersyahadah". Saya merasai kesannya dahulu, baru saya pelajari ilmu itu. Bak kata, amali dahulu baru teori."
Selepas kita benar-benar bersyahadah, kita akan merasakan betapa Allah itu amat menyayangi diri kita. Walaupun diduga dan diberi kesedihan, kita akan merasakan yang Allah itu masih kekal menyayangi kita. Hakikatnya Allah mengasihi setiap hambaNya, tetapi adakalanya kita tidak mampu melihat "dimanakah kasihnya Allah" pada diri kita.
Apabila kita hanya meletakkan Allah di hati, seperti kata suami, "Buang isteri, buang suami, buang mak, buang ayah, buang anak, buang harta dan buang segalanya di dunia ini dari cinta hati kita." Para jemaah bersorak riuh menggambarkan kerisauan. Suami segera menenangkan suasana dengan membalas, "Hanya letakkan Allah di hati kita dengan sepenuh cinta dan kasih, maka selepas itu dengan rahmatNya juga kita akan menikmati dan merasai cinta dan kasihnya seorang suami, seorang isteri, anak-anak, mak ayah serta keberkatan harta dan dunia". Barulah para jemaah tersenyum tenang kembali.
Kata-kata itu benar bagi saya, apabila hanya Allah di hati dan di jiwa, kita akan merasai sesuatu yang amat berharga dalam setiap aspek kehidupan. Ia akan memberi kesan kepada solat (yang paling utama), hubungan cinta suami isteri, kasih sayang pada anak-anak, semangat menuntut ilmu, amanah pada pekerjaan, ukhuwah dalam hidup bermasyarakat, kemurahan rezeki, kesabaran, hati yang tenang, redha dan kesihatan fizikal.
Namun, benar juga kata suami, bahawa syaitan akan lebih memainkan peranan untuk menyesatkan hati-hati manusia apabila mereka mengetahui manusia itu telah "berpegang pada syahadah". Kita tidak akan didorong melakukan dosa, tetapi kita akan didorong untuk terus beribadah dan berbuat kebaikan sehingga timbulnya perasaan "riak dan takbur" pada hati kita kerana ibadah dan kebaikan yang kita lakukan. Apabila kita beribadah dan berbuat baik dengan hanya sedikit "riak dan takbur", maka hilanglah kenikmatan dan pahala beriabadah dan kebaikan itu dari dalam diri kita sedikit demi sedikit.
Terima kasih suami ku atas pengisian "Syahadah" yang amat bermakna itu.
Terima kasih atas dorongan untuk ku terus "bersyahadah" sejak dari dulu.
Barulah ku fahami selepas ku merasainya terlebih dahulu.
Semoga kita dan anak-anak terus berpaut pada "Tali Allah".
Wasalam.






2 comments:
salam,
ramai yang menghantar sms dan ym bertanyakan lebih detail ttg konsep syahadah ini.
harap tiada salah sangka. entry ini adalah luahan hati saya kesan dari kuliah suami saya ini. sekadar nukilan untuk saya muhasabah diri saya sendiri. sebagai catitan ilmu untuk anak2 saya.
namun saya rasa, suami saya yang lebih layak menerangkannya kerana takut berlaku salah faham pula.
tapi tak tahu bila masa beliau terluang. :)
wasalam.
Kak Yana,
nak lagi, nak lagi, nak lagi ... :)
Ust razi mmg nampak mcm sibuk. Akak pun setiap minggu berprogram dgn ust.
rajin-rajin la nulis yer.
sharing is caring :)
Post a Comment