.: razyana :.

My photo
Kajang, Selangor, Malaysia
HambaNya, Pencinta Rasulullah SAW, Dikurniakan 4 permata berharga, Penuntut ilmu selamanya beserta 4 nilai utama dalam hidup ini, Ketaqwaan kepada Allah, Kecintaan pada Rasulullah, Kasih sayang berkeluarga dan Ilmu sepanjang hayat. Email : ilyana8@hotmail.com, izzar@hotmail.com

Wednesday, April 14, 2010

Program LINUS Insyirah

Salam,

Alhamdulillah, Insyirah lulus dalam Program LINUS yang dilaksanakan oleh KPM. Ujian ini menentukan tahap keupayaan setiap pelajar Tahun 1 agar para guru dapat memberi tumpuan yang lebih kepada pelajar yang lemah. Ia juga bertujuan untuk memastikan pelajar Tahap 1 bersedia menghadapi Tahap 2 kelak.

Maka, pelajar dipindahkan ke dalam kumpulan masing-masing dan jadual baru di beri. Harapan saya cuma agar jadual waktu yang lebih efisien di susun agar beg sekolah anak-anak tidak terlalu berat. :) Di Mesyuarat Agong PIBG lalu, saya ada mencadangkan locker untuk pelajar, namun ia masih dalam usaha pihak sekolah. Di harap, usaha itu disegerakan :)

Walaupun lulus, namun masih banyak yang perlu Insyirah perbaiki. Saya selalu mengingatkan beliau, setiap orang adalah bijak, namun yang membezakan mereka ialah ketekunan dan kerajinan.

Seharian yang padat, hanya memberi masa yang pendek untuk beliau mengulangkaji di waktu malam. Syukur juga, Insyirah ini seorang yang segera menyiapkan setiap tugasan ketika waktu persekolahan. Jadi, tiada kerja sekolah yang perlu disiapkan di rumah. Maka, waktu malam perlu saya pastikan ianya berkualiti untuk kami berdua dan keluarga.

Dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, mengaji (sekadar ulangkaji), makan bersuap (kalau tak suap, tak nak makan), membuat buku latihan sebanyak 5 muka surat dan bersembang sebelum tidur (sehingga kini Insyirah tidak boleh tidur tanpa saya atau Abi beliau disisi. Itulah rutin Insyirah dari Isnin hingga Jumaat.

Yang penting bagi saya, Insyirah perlu tidur yang cukup untuk bertenaga di siang hari. Nak paksa dia "terlalu" sangat, pasti dia akan tertekan. Yang penting dia gembira dan bersemangat untuk belajar dalam keadaan yang dia rela. Saya sering berhubung dengan para guru Insyirah. Alhamdulillah, setakat ini cikgu-cikgu belum lagi memaklumkan yang dia mengantuk di dalam kelas. Dia sangat aktif dan bekerjasama di dalam kelas. Kerana bagi saya, jika mengantuk, maka kemungkinan, dia tidak cukup tidur atau tidak sihat, ini akan mengganggu tumpuan ketika guru mengajar.

Sabtu dan Ahad akan saya padatkan jadual beliau. Perlu mengulangkaji setiap mata pelajaran dan membuat latihan. Ia untuk mengganti semula masa-masa yang berlalu dalam tempoh 5 hari persekolahan. Namun, itu hanya di waktu pagi ketika beliau masih segar dan bersemangat.

Apabila tiba tengahari, beliau dan adik-adik bebas membuat aktiviti masing-masing. Pada waktu inilah saya akan memberi sedikit "reward" kepada anak-anak untuk mengembirakan mereka. Apa sahaja yang mereka suka nak buat atau mahukan, tetapi mesti dalam kemampuan kami berdua :)

Di saat anak-anak berasa gembira inilah, waktu yang paling sesuai untuk saya dan suami "berleter" memberi pelbagai pesanan dan nasihat. Hati anak-anak yang ketika itu dalam kedamaian serta penuh kasih sayang. Anak-anak akan mendengar dengan tekun dan "insaf". :) Anak-anak akan membalas kepada kami dengan janji akan berkelakuan baik dan tidak mengulangi kesilapan yang mereka lakukan.

Berbanding jika kami "berleter" dikala mereka penat bersekolah seharian, maka ia "bagai mencurah ke daun keladi" yang adakalanya di balas dengan ungkapan "berlawan". Bila terjadi begitu pasti hati mana yang tidak sakit :), mulalah suara saya tertinggi dan ternyaring menyebabkan hati-hati terasa.

Hmmmm, itulah manusia yang adakalanya lupa dan leka, tidak sempurna. Di dalam hati, saya berdoa memohon kesabaran dari Allah dan tidak lepas dibibir saya, "Walaupun aku geram ya Allah, tetapi anak-anak ini sentiasa dalam keampunanku, Engkau kekalkan perlindunganMu pada anak-anakku. Janganlah kemarahan ku ini menyebabkan kemarahan Mu, kerana aku juga bersalah dan berilah aku terus peluang untuk mendidik hati-hati mereka."

Mengapa saya mengisahkan plot ini, Ahad lalu saya ke satu kuliah muslimat. Bila saya ditanya dan dipersoal, "Ibu bapa sekarang, mendidik untuk anaknya berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan, fasih berbahasa Arab dan Inggeris dan berkerjaya hebat yang akan membuatnya bangga. Tetapi pernahkah mereka mendidik anak-anak agar "ber rohani" cemerlang?"

Dikuliah itu kami di anjurkan supaya mendidik rohani anak-anak. Dan apabila saya mengungkap kembali hari-hari saya bersama anak-anak, baru saya perasan dan sedar bila dan bagaimana rohani anak-anak perlu dan boleh dibentuk.

Formulanya, 5 hari bersekolah, ialah hari tegang buat anak-anak! Saya dan suami perlu banyak bersabar namun tegas dalam menghadapi anak-anak. Dan 2 hari hujung minggu, ialah hari displin! Anak-anak perlu ikut peraturan kami dan kami akan beri kasih sayang sepenuhnya (dengan pelbagai cara yang mengembirakan, tidak membazir dan tidak keterlaluan), pada waktu ini amat sesuai untuk mendidik rohani anak-anak. Kesannya (memang benar pada saya dan suami), anak-anak tidak sabar menunggu hujung minggu yang indah berkeluarga dan tidak sabar menanti hari Isnin berikutnya untuk bersekolah semula kerana mereka hati-hati mereka telah disegarkan semula selama 2 hari hujung minggu. :) Yang paling penting kualitikan setiap detik bersama anak-anak.

Setiap coretan saya adalah peringatan dan panduan untuk saya sendiri kerana setiap manusia itu perlu sentiasa diingatkan. Adakalanya orang lain tidak mampu mengingatkan kita, jadi "sendiri mau ingat" :). Saya manusia tidak sempurna yang masih perlu pembaikan, namun sebagai manusia saya juga cuba berusaha untuk berjaya. Ini kerana setiap manusia akan melalui pengalaman yang berbeza dalam setiap perkara, maka yang baik boleh diambil panduan dan yang tidak baik itu dijadikan iktibar. Coretan-coretan saya juga untuk lipatan gumpalan kenangan antara saya, suami dan anak-anak, untuk diungkap kemudian hari mencari panduan dan menjadi iktibar. Insya Allah.


Saya selalu "terlebih tulis" bila idea mencurah, keinsafan menjelma, sedangkan saya ingin berkongsi tentang Program LINUS sahaja :)

Berikut adalah sedikit sebanyak penerangan ringkas untuk Program LINUS.

Saringan Literasi dan Numerasi(Literacy and Numeracy Screening)

LATAR BELAKANG

 Satu daripada National Key Result Area (NKRA) “semua murid yang tidak mempunyai masalah pembelajaran berkeupayaan untuk menguasai asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah menjelang 2012”.

 LP menyediakan instrumen saringan untuk menyaring, mengesan dan mengenalpasti penguasaan murid Tahun 1, 2 dan 3

 LP telah mengadakan beberapa siri mesyuarat dan mengadakan wacana intelek dengan pelbagai pihak dalam usaha pengkonsepsian dan perekaan bentuk instrumen

REKA BENTUK INSTRUMEN SARINGAN

 Berdasarkan 12 konstruk asas literasi dan numerasi yang merangkumi definisi literasi dan numerasi

 Kesemuanya tergolong dalam asas literasi dan numerasi sejajar dengan definisi yang telah ditetapkan oleh pihak Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK)

 Murid yang menguasai kesemua 12 konstruk itu dianggap telah menguasai asas literasi dan numerasi.

 Murid yang tidak menguasai kesemua 12 konstruk itu akan melalui kelas pemulihan program LINUS atau kelas khas murid bermasalah pembelajaran.

PENGENDALIAN INSTRUMEN SARINGAN

• Tiga saringan mulai tahun 2010

• Saringan 1
Untuk semua murid Tahun 1 - bulan Mac 2010

• Saringan 2
Untuk murid Tahun 1 yang tidak melepasi Saringan 1 - Jun 2010

• Saringan 3
Untuk murid Tahun 1 yang tidak melepasi Saringan 2 - September 2010

• Keputusan Saringan 3 (Tahun 3) dalam bulan September 2012 akan dijadikan ukuran pencapaian KPI.

INSTRUMEN SARINGAN

 Instrumen Saringan 1, Saringan 2 dan Saringan 3 mengukur konstruk yang sama

 Item bagi setiap instrumen dibina berdasarkan kedalaman kandungan (depth of the content) yang akur dengan perkara yang dipelajari murid dalam tahun berkenaan.

 Semua instrumen Saringan LINUS dibina oleh LP tetapi proses saringan dilaksanakan oleh guru secara individu atau kumpulan kecil murid.

 Proses saringan dilaksanakan secara standard dijalankan secara serentak terhadap semua murid dengan kaedah pengendalian dan jadual yang sama.

 Proses saringan boleh dilaksanakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

 Ketiga-tiga saringan MESTI dilaksanakan oleh guru

DEFINASI LITERASI

Keupayaan untuk membaca, menulis dan memahami perkataan, ayat tunggal dan ayat majmuk yang mudah serta mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran
serta komunikasi harian

Konstruk 1 - Keupayaan membunyikan dan menulis huruf vokal dan konsonan
Konstruk 2 - Keupayaan membunyikan dan menulis suku kata terbuka
Konstruk 3 - Keupayaan membaca dan menulis perkataan suku kata terbuka
Konstruk 4 - Keupayaan membunyikan dan menulis suka kata tertutup
Konstruk 5 - Keupayaan membaca dan menulis perkataan suku kata tertutup
Konstruk 6 - Keupayaan membaca dan menulis perkataan yang mengandungi suku kata tertutup ‘ng’
Konstruk 7 - Keupayaan membaca dan menulis perkataan yang mengandungi suku kata vokal tunggal
Konstruk 8 - Keupayaan membaca dan menulis perkataan yang mengandungi diftong dan vokal berganding
Konstruk 9 - Keupayaan membaca dan menulis perkataan yang mengandungi digraf dan konsonan berganding
Kosntruk 10 - Keupayaan membaca dan menulis perkataan berimbuhan awalan dan akhiran
Konstruk 11 - Keupayaan membaca dan menulis ayat mudah
Konstruk 12 - Keupayaan membaca dan memahami bahan rangsangan secara lisan atau penulisan

Wasalam.

2 comments:

Cikgu Murne said...

Salam...

Sedikit tambahan...

Literasi penguasaan dlm BM
Numerasi penguasaan dlm MT

Pemulihan LINUS = kuasai 0-2 konstruk
LINUS = kuasai 3-8 konstruk
Perdana = kuasai 9-12 konstruk

Pemulihan LINUS (masuk kelas Pemulihan @ Kelas Khas)

LINUS (pembelajaran berpandukan modul yg disediakan)

Perdana (pembelajaran spt biasa)

TK

Ilyana Ar Razi said...

salam murne, tq!

terima kasih atas perkongsian sbg seorang guru.

anak awak yang sulung dah darjah berapa?