.: razyana :.

My photo
Kajang, Selangor, Malaysia
HambaNya, Pencinta Rasulullah SAW, Dikurniakan 4 permata berharga, Penuntut ilmu selamanya beserta 4 nilai utama dalam hidup ini, Ketaqwaan kepada Allah, Kecintaan pada Rasulullah, Kasih sayang berkeluarga dan Ilmu sepanjang hayat. Email : ilyana8@hotmail.com, izzar@hotmail.com

Sunday, February 8, 2009

Sesi Dialog @ Restu Kids

Salam,

Entri ini sebagai perkongsian hasil dari Sesi Dialog yang diadakan oleh Restu Kids untuk ibu bapa anak-anak Restu Kids. Ini adalah pandangan saya sebagai diantara ibu bapa terhadap pengurusan Restu Kids. Program ini amat baik kerana selain dapat mengeratkan hubungan kita sebagai ibu bapa, kita juga dapat memahami dan mengetahui bagaimana Restu Kids menjalankan tugas dan peranan mereka sebagai medium pendidik diantara anak-anak dan ibu bapa.

Sesi Dialog Ibu Bapa dan Pengurusan Restu Kids telah diadakan pada Jumaat lalu, 6 Februari 2009 di Kompleks Seni Islam, Shah Alam. Saya masuk lambat ke pejabat kerana ingin mengambil bahagian di program ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al Quran oleh seorang pelajar dari Acheh yang dibawah tajaan Yayasan Restu. Kemudian, tazkirah disampaikan oleh Ust Hj. Dzulkarnain Hj Hamzah Al Hafiz dengan tajuk Aqidah Islamiyah Menjana Kekuatan Ummah. Tazkirah yang amat menarik dan berkesan pada hemat saya. Pastilah kerana ia disampaikan oleh insan yang berpengalaman dalam bidang al quran serta gaya penyampaian ceramah @ tazkirah yang "kena" dengan cara permikiran ibu bapa yang berdaya intelek tinggi. Saya amat rindukan majlis-majlis ilmu seperti ini, hati dan jiwa rasa terisi dengan kalimah-kalimah indah dari Allah serta suntikan-suntikan semangat, perjuangan dan kehidupan. Tak sabar nak tunggu hubby balik dan ikut ke setiap majlis ilmu yang hubby hadiri.

Saya ada merakam sesi tazkirah ini dan mungkin akan datang saya akan lampirkan disini.

Ust Dzul ada menyatakan bahawa bagaimana orang yang masih hidup dapat membantu orang yang telah meninggal dunia iaitu dengan sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, doa anak yang soleh, orang yang membina masjid, orang yang membina sekolah, sungai yang dialirkan dan Al Quran yang diwasiatkan.

Ust Dzul juga ada menceritakan kisah pada tahun 1984 tentang kisah Datuk Hassan Din telah mengarahkan beliau dan sahabat lain untuk membakar quran majid yang telah menjadi isu besar negara dan menceritakan kisah sebenar isu tersebut serta mengapa ianya dilakukan.

Pelbagai isu berkaitan al quran yang beliau ceritakan pada kami termasuklah mengajar kami konsep dan kaedah "nasakh dan mansukh". Subjek ini ada dalam silibus subjek Al Quran dan Sunnah sekolah menengah dahulu dan kini. Sememangnya amat menarik.

Beliau juga menyatakan cara untuk sentiasa menyuburkan hati ialah sentiasa menghadiri majlis ilmu, bangun malam, membaca Al Quran, zikrullah dan jaga permakanan kerana ia menjaga sahsiah. Sebagai ibu bapa, apa yang penting untuk anak-anak ialah menjaga permakanan mereka dari aspek memastikan ia dari sumber yang halal dan berkhasiat.

Banyak lagi yang disampaikan oleh beliau. Beliau boleh ditonton di program Astro Oasis, Kalam Suci. Saya berharap dapat mendengar lagi dari beliau.

Selesai majlis tazkirah, maka sesi dialog dimulakan oleh YBhg Datuk Abdul Latiff Mirasa. Isteri beliau, Datin Roslina adalah pengetua Restu Kids.

Antara isu yang ditimbulkan oleh ibu bapa ialah :

1. Keselamatan di tandas
2. Keselamatan menaiki van untuk pulang ke rumah
3. Yuran bulanan yang membebankan
4. Laporan perkembangan pendidikan anak-anak setiap akhir bulan minta dilaporkan kepada ibu bapa.

Komen saya untuk isu ke 2.

Saya yang timbulkan isu ini kerana Insyirah adalah yang terakhir yang akan dihantar ke rumah. Jika van sekolah mengalami kerosakan, saya harap saya dimaklumkan agar bibik yang menunggu di rumah tidak susah hati dan kelam kabut. Insyirah pula amat takut pada orang lelaki yang tidak dikenalinya, maka jika orang lain selain En Hafiz yang memandu van maka dia akan menangis ketakutan, jadi harap diterangkan dan dikenalkan pada Insyirah siapa yang memandu van sekolah yang akan menghantarnya pulang. Namun saya yakin pihak Restu Kids telah mengambil pelbagai langkah yang terbaik untuk memastikan keselamatan anak-anak. Semoga anak-anak kita sentiasa dalam perlindungan Allah.

Komen saya untuk isu ke 3.

Saya sebenarnya tidak mahu memberi komen tentang isu yuran kerana pada pendapat saya yuran bulanan sebanyak RM270 itu amat berpatutan. Sesi persekolahan bermula dari 8.30 pagi hingga 1.30 tengahari termasuk 2 kali makan, adalah amat berpatutan. Untuk pengetahuan ibu bapa yang lain, saya telah membuat banyak tinjauan ke pra sekolah yang lain. Ada yang lebih mahal dan ada juga yang lebih murah, tapi sesi persekolahan hanya sehingga 11.30 pagi sahaja. Tidak termasuk makan tengahari. Saya sebenarnya bukan melihat kepada mahal atau murah tetapi melihat kepada kaedah dan pendekatan yang digunakan oleh Restu Kids yang pada hemat saya amat baik dan terkini. Ianya menyeimbangkan pendidikan jasmani dan rohani anak-anak. Walaupun pendidikannya berteraskan Al Quran (itu yang paling utama akhir zaman ini), tetapi subjek yang berasaskan Bahasa Inggeris amat ditekankan. Selain itu anak-anak juga akan mengikuti kelas berenang dan kelas komputer. Saya memahami kedudukan setiap ibu bapa adalah berbeza dari segi pendapatan, namun saya merasakan "cadangan" yang diberikan oleh Datuk Latiff untuk membantu beban bayaran yuran adalah boleh diterima pakai.

Komen saya untuk isu ke 4

Ianya telah saya nyatakan di program tersebut kerana saya yang juga diantara mencadangkan agar rekod prestasi perkembangan anak-anak diserahkan kepada ibu bapa setiap akhir bulan. Tujuannya adalah sebagai pemantauan dari ibu bapa yang sebenarnya dapat membantu para teacher mencapai target mereka. Ia juga sebenarnya memperlihatkan keterlibatan ibu bapa dalam sama-sama mendidik anak-anak. Pendidikan anak-anak tidak hanya bergantung kepada para guru tetapi hakikatnya ia bermula dari ibu bapa itu sendiri.

Banyak lagi yang dibangkitkan, namun saya rasa 4 perkara ini adalah yang paling utama. Kita sebagai ibu bapa hakikatnya tidak boleh terlalu bergantung kepada para guru dalam memberi pendidikan kepada anak-anak kita. Para guru menjalankan tanggungjawab mendidik di sekolah. Ibu bapa yang lebih berperanan mendidik anak-anak sejak dari kecil hingga dewasa. Segala yang asas bermula dari ibu bapa. Islam dan kasih sayang menjadi teras pendidikan ibu bapa. Di dalam prinsip Islam terdapat displin-displin yang perlu diterapkan kepada anak-anak menurut peringkat umur anak-anak. Islam telah mengariskan segalanya sebagai panduan kepada ibu bapa. Walau sehebat dan sesibuk mana pun ibu bapa itu, perlu disedari bahawa anak-anak memerlukan segalanya dari ibu bapa mereka untuk mereka meniti kehidupan ini. Kasih sayang, perhatian, teguran, panduan, didikan agama dan sahabat yang setia perlu anak-anak perolehi dari ibu bapa.

Terima kasih para pendidik Restu Kids diatas usaha kalian yang murni untuk mendidik tunas-tunas Islam agar menjadi insan yang soleh dan solehah. Keikhlasan mendidik itu Allah akan balas dengan kejayaan. Sebagai ibu bapa, berilah sokongan dan bantuan yang termampu demi kejayaan anak-anak kita juga.

Bagi saya setiap detik yang berlalu pastinya tidak akan berulang. Maka, kita perlu merancang untuk detik yang akan datang berdasarkan pengalaman yang dah berlalu. Merancang adalah usaha. Selebihnya kita serahkan kepada Allah untuk menentukan yang terbaik untuk hambaNya. Begitu juga anak-anak kita, mereka akan terus membesar dan dewasa. Saat-saat indah ketika kecil mereka akan tinggal kenangan. Jadi, apalah salahnya jika kita coretkan sesuatu yang indah dan bermanfaat kepada mereka untuk sama-sama kita kenang suatu hari nanti.

Wasalam.

No comments: