Semalam, Mama Ayah selamat berangkat ke Mekah untuk menunaikan Umrah Ramadhan kali ini. Semoga dipermudahkan urusan ibadah di bulan Ramadhan ini dengan kesihatan yang baik. Risau mengenangkan H1N1 yang menular kini. Namun kerajaan Arab Saudi hanya menyekat kemasukan jemaah kanak-kanak, warga tua dan yang mempunyai penyakit kronik. Mama dan Ayah juga diambang usia tua, namun Insya Allah kesihatan mereka masih baik, dengan izin Allah jua.
Saya tak sempat menghantar mereka ke KLIA, sekadar wida' di rumah sahaja. Ketika di dapur menyiapkan sarapan pagi, saya telah memeluk Mama dan memohon ampun maaf. Mama membalas pelukan saya dan berpesan, "JAGA ANAK BAIK-BAIK, JAGA RAZI BAIK-BAIK, TINGKATKAN IBADAH RAMADHAN NI, MASAK SEDAP-SEDAP RAMADHAN NI, JAGA RUMAH NI BAIK-BAIK, JANGAN LUPA AMIK AYAM KAMPUNG DAN LALA DARI UWAN CHIK SEHARI SEBELUM RAMADHAN, JANGAN LUPA ANYAM KETUPAT, TENGOKKAN ADIK-ADIK, KUIH RAYA DALAM ALMARI TU JANGAN BAGI ADIK-ADIK HABISKAN, MAMA MAAFKAN ELY, RAZI DAN ANAK-ANAK, DOAKAN MAMA DAPAT BERIBADAH DENGAN BAIK DAN SELAMAT PULANG SEBELUM HARI RAYA".
Saya rasa terharu dan sedih sebab banyak sangat pesanan. Saya hanya mampu membisu. Sedih, kerana tahun ini tak dapat lagi berRamadhan dengan Mama Ayah. Tahun-tahun sebelum ini pun begitu. Seingat saya sejak Ayah mula bertugas di Jeddah pada tahun 2002, sehingga kini saya berRamadhan tanpa mereka. Sebab kecil yang lain, tak dapat makan kuih muih dan lauk pauk yang sedap-sedap air tangan Mama. Takpela, biarla Mama bercuti sebentar melayan keinginan anak-anak dan cucu untuk beribadah dengan tenang di Mekah.
KUIH RAYA MAMA
Tugas Insyirah ... sapu kuning telur
Namun, Mama tetap seperti kebiasaan beliau sejak berpuluh tahun dahulu ... kuih raya mesti disiapkan sebelum Ramadhan. Supaya bila Ramadhan nanti, tak perlu fikir untuk buat kuih raya. Sejak saya kecil, sayalah "mangsa" menekap, menyapu kuning telur, membakar dan menyusun kuih raya di dalam balang. Tugas Mama hanya mengadun adunan yang berkilo-kilo.
Kami memang tidak pernah membeli kuih raya kerana Mama rasa tidak berbaloi. Lagipun kini sebalang @ sebotol harga kuih raya mahal seperti harga sepasang baju raya. Mama puas membuat kuih rayanya sendiri. Lagipun, Mama dahulu perlu membuat kuih raya dalam kuantiti yang banyak. Iaitu untuk rumah kami, rumah ibunya (Uwan saya di Sungai Way, PJ), rumah ibu mertuanya (Opah saya di Kampar, Perak) dan rumah kakak iparnya (Mak Long, Slim River). Jadi dahulu, memang banyaklah kuih raya yang Mama perlu buat.
Kini, tidak perlu lagi. Kuih raya hanya untuk anak-anak dan cucu-cucu. Ketika saya dan adik-adik masih kecil, berbalang-balang kuih raya akan Mama simpan di dalam sebuah bilik di dapur. Pintu akan di kunci agar kami adik-beradik tidak menghabiskan kuih raya Mama. Adik-adik saya bila tidak berpuasa, maka kuih raya akan dimakan kerana tidak ada lauk tengahari yang Mama masak. Segalanya tinggal kenangan. :)
Ahad lepas, saya, Mama, Insyirah dan bibik berjaya menyiapkan 5 jenis kuih raya. Kini dah ramai pembantu, jadi cepatla sikit. Tugas saya dan mama hanya mengadun adunan berkilo-kilo. Bibik dan Insyirah yang menekap, menyapu kuning telur, membakar dan menyusun di dalam balang.
Sebelum Maghrib siapla kuih raya kegemaran kami sekeluarga, Biskut Oat, Biskut Nestum, Biskut Badam, Biskut Mazola dan Chocolate Cookies. Kuih raya yang berinti kami akan buat 2 hari sebelum Aidilfitri. Tugas tambahan saya ialah merakam setiap cara Mama membuat adunan, sebab Mama berkata, "Kalau Ely dan Insyirah tidak mewarisinya, siapa lagi! Takkan nak beli kuih tunjuk. Buat sendiri lebih jimat dan puas hati. Buku resepi ni simpan baik-baik sampai bila-bila. Ikut aje sukatan yang tertulis. Pasti sama yang macam Mama buat sekarang ni dan dulu-dulu. Nanti Mama dah tak larat, Ely la pulak buat.". Saya terkedu ...
Tak sampai 24 jam Mama Ayah bertolak, saya telah berasa rindu. Pastu dok fikir nak masak apa untuk Abi dan anak-anak. Kalau Mama Ayah ada, mereka yang bagi idea nak makan apa. Tak pun, Mama yang masakkan :)
Apapun, saya doakan Mama Ayah berada dalam lindungan Allah di sana. Dikurniakan kesihatan yang baik untuk beribadah. Dan mendapat keberkatan dan pahala Ramadhan di Tanah Suci Mekah.
Kalau Ayah "terbuka" blog ini melalui Uda, Ely nak pesan kismis, kurma Ajwa dan Abaya belah tengah untuk Ely dan Insyirah dan jubah putih untuk Bagugan Besar dan Bagugan Kecil. Hi hi hi. Kalau sempat la, tak boleh takpe ... :)
Wasalam.






2 comments:
wah!
kuih raya dah siap. bole la dtg raya nanti. :)
mama kakak yg blh jd cth..!! buat kuih raya sblm ramadhan.. ramadhan sibukkan dgn ibadah.. :)
Post a Comment