Salam,
Kisah 1.
Sabtu Ahad yang lalu saya amat sibuk. Macam-macam aktiviti dilakukan. Sementelah juga hubby yang masih ada saki baki waktu bersama kami di sini, jadi masa yang ada sepatutnya dimanfaatkan.
Awal pagi Sabtu kami ke Jeram, menziarahi pusara nenda tercinta, Mariam Binti Abu Hassan. Beliau kembali kepada Allah pada 20 April 2008. Setakat ini, saya tidak pernah jumpa lagi, nenda yang sebaik beliau. Banyak kenangan kami bersama sejak saya kecil hingga saat-saat akhir hidupnya. Semuanya manis. Dengan kebaikan hati budi, tutur kata, perbuatan serta ketaatan beliau sebagai hambaNya, semoga Allah merahmati beliau di persinggahan ini dan di Akhirat kelak.
Dan yang paling saya akan kenang sampai bila-bila ialah masakan-masakannya yang amat sedap. Sehingga menjadi satu sikap kami, cucu-cucunya, apabila tiba sahaja di rumah beliau, pertama sekali, kami akan terus ke meja makan, membuka tudung saji, melihat apa yang beliau masak pada hari itu. Beliau amat rajin memasak sehingga usia tua untuk anak-anak dan cucu-cucu, walaupun beliau ada bibik.
Saya rindukan Uwan, :(. Al Fatihah.
Kisah 2.
Selepas kami sekeluarga membaca Yassin di pusara nenda, kami ke Pantai Remis, Jeram. Rancangnya nak bersarapan roti canai (kegemaran abang Amir), tetapi tiada satu gerai pun yang buka. Kelaparan.
Melihat air laut yang surut, anak-anak ingin turun bermain. Kami turun sebentar melihat beberapa dewasa dan kanak-kanak sedang mencari ketam, siput dan lala. Tetiba terpandang sebatang pokok yang rendang. Teringat kenangan lalu.
Sehari selepas kami bernikah, kami berdating kat pokok itu. Bila kami memberitahu Insyirah, dia tidak faham apa itu 'dating', tetapi 'bercinta' dia faham (menurut fahaman dia la). Jadi dia berkata, "Ohh, kat pokok itulah umi dan abi bercinta." Kami hanya tersenyum. Kami ketika itu sebenarnya menemani sahabat kami yang sebenarnya berdating, kerana mereka akan bernikah pada minggu hadapannya.
Sebelum pulang sempat abi membelikan pistol belon untuk Insyirah dan Amir Irsyad. Melayang duit saya RM20. Saya kerugian kerana pistol itu hanya bertahan 2 hari. Lepas ni saya nak beli yang harga RM1 sahaja.
Ini kerana selain bermain buih sabun dengan cara meniup (bukan dengan cara menembak), sebenarnya melatih otot mulut kanak-kanak untuk bercakap. Dapat kita lihat kadang kala, kanak-kanak yang masih kecil, tidak boleh meniup mengeluarkan angin, TETAPI MENYEMBURKAN AIR LIUR. Jadi aktiviti meniup buih sabun ini sebenarnya melatih mereka melancarkan tutur kata. Saya mengetahui kaedah ini melalui Wanita Hari Ini dalam siri melatih kanak-kanak bercakap dengan lancar.
Kisah 3.
Kami tiba di Shah Alam tengahari, rasa malas nak masak, syukur ada jemputan perkahwinan. Ayah menghubungi saya dan mengajak saya dan hubby ke satu tempat menghadiri satu program. Kami berdua terus ke program tersebut.
Kira-kira 100 anggota pertubuhan bukan kerajaan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) berkumpul berhampiran Kuil Hindu di Seksyen 19, Shah Alam ni. MBSA pun ada berserta penduduk setempat. Siapakah Pewaris?. Apakah tujuan program ini?. Saya tidak akan menulis dengan lebih detail mengenai program ini di sini. Kalian boleh memberi komen, anggapan, telahan dan pendapat setelah melihat gambar-gambar yang akan saya lampirkan selepas post ini. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, boleh hubungi saya melalui email yer.
Kisah 4.
Selepas menghadiri program itu, kami bergegas ke Gombak untuk menghadiri mesyuarat. Pejabat, lokasi mesyuarat itu mengingatkan saya satu kisah ketika saya mengandungkan Amir Irsyad dahulu.
Pada ketika itu, saya datang ke situ bersama hubby untuk bermesyuarat juga. Di tingkat bawah pejabat itu terdapat kedai menjual haiwan. Dari jauh saya lihat ada kucing, burung, ikan dan anak anjing. Saya menghampiri aquarium kaca di hadapan kedai, saya terkejut yang amat sangat hingga mahu terjatuh kerana SEEKOR ULAR SAWA ALBINO YANG BESAR menerjah ke arah saya. Saya memang tidak perasan bahawa di dalam aquarium itu ada seekor ular sawa. Pastilah kerana ia albino.
Pada ketika itu dalam keadaan terkejut, jantung berdegup kencang dan kandungan saya rasa turun ke bawah. Saya rasa Amir Irsyad di dalam kandungan juga mungkin terkejut. Kaki saya lemah longlai hingga saya tak larat untuk memanjat tangga. Ketika itu, hubby dah naik ke atas dahulu untuk bermesyuarat. Saya naik ke atas pejabat dan mengambil wudu' bagi menenangkan hati. Sepanjang mesyuarat itu saya masih dalam keadaan terkejut. Syukur Insyirah yang masih kecil ketika itu tidak meragam.
SAYA MEMANG FOBIA DENGAN ULAR.
Kisah 5.
Dari Gombak kami terus ke Sepang ke rumah sahabat hubby. Sementara mengisi minyak abang Amir bangun dari tidur. Dia mahu buang air kecil. Saya bergegas membawanya ke tandas. Tak sempat membuka seluar, dia dah k**c**g. Terus dia berkata, "Sorry umi, abang tak tahan dah." Habis lencun seluar dalam dan luar.
Masalahnya hari ini saya tidak membawa persalinan seluar. Jadi tidak berseluarlah abang Amir sepanjang perjalanan dari Gombak ke Sepang. Merengekla dia kesejukan kerana tidak berseluar.
Di rumah sahabat hubby, kami di jamu Mee Goreng. Sedapnya ...
Kami sampai lewat ke rumah. Terus meluru ke katil untuk tidor sambil sempat mencium Insyirah yang tidak mengikut kami petang ini.
Hari ini penuh kenangan.
Kenangan indah kami berlima yang saling berkasih sayang. Alhamdulillah.
Wasalam.






2 comments:
Salam. Aufa tak perlukan latihan tiup buih sabun nampaknya.... hehe :)
Salam. Aufa mmg tak perlu sbb dia mmg keletah. Tak boleh lupa bila dia cakap "Ish, banyak cakap la" :)
Post a Comment