Beberapa hari yang lepas, saya didatangi seorang bukan Muslim bertanyakan berkenaan pembiayaan perumahan secara islam. Kini, produk perbankan islam menjadi pilihan para pengguna Muslim dan bukan Muslim dalam membiayai pinjaman perumahan @ kenderaan mereka.
Mengapa? Akan saya terangkan serba sedikit menurut prosedur undang-undang yang diaplikasikan kini. Saya merasakan menjadi tanggungjawab setiap Peguam menerangkan secara mendalam kepada setiap anak guam dan pengguna agar mereka mengetahui transaksi yang mereka masuki.
Pembiayaan perumahan secara Islam atau pembiayaan perumahan-i (financing) ialah kemudahan pembiayaan berdasarkan Syariah bagi pemilikan semua jenis harta kediaman. Ia juga boleh digunakan untuk membiayai semula (refinancing) kemudahan sedia ada yang diambil sama ada secara pinjaman perumahan konvensional (conventional) atau skim pembiayaan perumahan secara Islam yang lain.
Secara ringkas, produk pembiayaan perumahan secara Islam di Malaysia kini merangkumi pembiayaan rumah siap dan pembiayaan rumah dalam pembinaan. Pembiayaan perumahan secara Islam yang terdapat dalam pasaran pada masa ini, sebahagian besarnya adalah distrukturkan berdasarkan kontrak BBA (Bay' Bithaman Ajil).
BBA sebagaimana diamalkan di Malaysia pada hakikatnya merupakan aplikasi kontrak Bay’ Al-Inah. Justeru, memandangkan Bay’ Al-Inah merupakan kontrak yang kontroversial, terdapat kecenderungan semasa sekarang ini di kalangan pemain-pemain industri untuk beralih kepada kontrak-kontrak Syariah lain yang kurang menimbulkan khilaf dan kontroversi hukum serta konflik persepsi.
Yang terkini industri perbankan Islam Malaysia telah menawarkan pembiayaan dibawah aplikasi kontrak Musyarakah Mutaniqisah kesan daripada khilaf yang timbul dari aplikasi kontrak Bay' Al-Inah yang akan saya terangkan kemudian.
Pembiayaan rumah siap dan rumah dalam pembinaan dengan kontrak Musyarakah Mutanaqisah adalah pembiayaan berdasarkan kontrak Musyarakah Mutanaqisah yang dibentuk dengan kontrak syirkah sebagai kontrak utama dan disokong oleh beberapa kontrak lain iaitu ijarah, jualbeli dan wa‘d.
Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia pada mesyuarat ke 56 pada Februari 2006 telah memutuskan bahawa produk pembiayaan berdasarkan kontrak Musyarakah Mutanaqisah adalah DIHARUSKAN.
Dalam melaksanakan kontrak Musyarakah Mutanaqisah, harus bagi pihak yang berkontrak, iaitu pembeli dan pihak pembiaya (bank) :-
1. Menggabungkan dua kontrak Musyarakah dan Ijarah dalam satu dokumentasi perjanjian, selagi kedua-dua kontrak dimeterai secara berasingan dan jelas tidak bercampur aduk antara satu sama lain; dan
2. Mengenakan gadaian atas bahagian yang dimiliki oleh pelanggan kerana hak milik benefisial ialah sesuatu yang diiktiraf oleh Syariah.
Saya akan menerangkan dengan lebih lanjut tentang kontrak Musyarakah Mutanaqisah serta membuat kajian tentang perbezaan antara kontrak BBA dan Musyarakah Mutanaqisah sebagai panduan kepada sahabat sekalian.
Sebarang ketidakfahaman @ pertanyaan boleh hubungi saya melalui email.
Wasalam.






1 comment:
salam, saya mencari maklumat sebegini dalam usaha untuk memahami dgn lebih terperinci keterangan mengenai produk2 Islamic. Terima kasih kerana saudara/i sudi berkongsi maklumat.
Post a Comment