Daripada pengaplikasian yang digunakan oleh kedua-dua pembiaya diatas dapat dirumuskan bahawa prinsip Musyarakah Mutanaqisah boleh digunakan bagi produk pembiayaan rumah mengikut konsep pemilikan bersama institusi perbankan dengan pelanggan menyumbang bahagian modal masing-masing yang diperlukan untuk memperoleh harta berkenaan menurut persetujuan kedua-dua pihak pada permulaan kontrak.
Bank Negara Malaysia dalam Laporan Tahunan 2007 menyatakan bahawa Musyarakah Mutanaqisah ialah suatu bentuk perkongsian dengan salah satu rakan kongsi, berjanji untuk membeli bahagian pemilikan rakan kongsi yang lain secara beransur-ansur sehingga ia memiliki sepenuhnya objek perkongsian.
Setelah pelanggan memperoleh sepenuhnya bahagian milik institusi perbankan terhadap harta berkenaan, perkongsian tersebut berakhir dan pelanggan menjadi pemilik tunggal harta itu.
Kontrak itu mengandungi unsur-unsur kontrak jual dan pajak (Ijarah) yang menjadi keperluan asasi untuk memastikan riba' (faedah) tidak wujud langsung dalam urus niaga Musyarakah Mutanaqisah itu.
Selain itu, pengalaman prinsip-prinsip Syariah dalam kontrak Musyarakah Mutanaqisah mewujudkan hubungan, hak dan kewajipan khusus bagi setiap pihak yang memeterai kontrak.
Hasilnya, institusi perbankan terdedah kepada risiko pasaran yang berkaitan dengan pemilikan bersama aset berkenaan serta risiko kredit yang berkaitan dengan kewajipan pelanggan untuk memperoleh pemilikan aset dan kewajipan institusi perbankan untuk menjual bahagian pemilikannya terhadap aset tersebut.
Menurut Bank Negara, institusi perbankan perlu menggunakan kaedah yang lebih kukuh disebabkan pendedahan kepada risiko sedemikian, kaedah berkenaan perlu disokong oleh data dan sistem yang telus dan mantap yang mampu mengesan dan memberikan anggaran terbaik tentang kerugian yang mungkin ditanggung akibat perkembangan negatif profil kredit pelanggan.
Proses dan infrastruktur pengurusan risiko institusi perbankan yang menawarkan produk seperti itu perlu dinamik dalam mengenal pasti, mengukur, mengawal dan mengurus semua risiko utama dan amalan pengurusan risiko pada setiap peringkat urus niaga Musyarakah Mutanaqisah.
Kesimpulannya, sistem kewangan Islam bersifat kurang risiko dan lebih kepada amalan perkongsian keuntungan di samping mampu melindungi sistem kewangan itu daripada krisis kewangan global seperti sekarang.
Islam sangat mementingkan kesejahteraan umat dan memerangi segala bentuk sistem atau struktur berteraskan riba yang memudaratkan kehidupan manusia. Firman Allah, bermaksud, “Wahai orang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan saki baki riba jika kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya,” (Al-Baqarah: 278- 279).
Oleh itu setiap dari kita harus menyumbang ke arah perkembangan Islam tidak kira di dalam apa jua bidang. Langkah untuk meningkatkan kesedaran terhadap perkhidmatan kewangan Islam harus dipertingkatkan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam, termasuk mendedahkan umum kepada aktiviti pasaran modal Islam serta perniagaan takaful yang semakin berkembang pesat.
Semoga sekurang-kurangnya kajian picisan ini saling memberi manfaat di antara kita sesama islam. Insya Allah.
Sumber Rujukan : Bank Negara Malaysia, Maybank Islamic, RHB Islamic & Bernama






No comments:
Post a Comment