Pada pagi 3 April 2009, kami ke Sek. Ren. Agama Integrasi Bandar Baru Bangi untuk mendaftarkan Insyirah ke Sesi Persekolahan Tahun 2010. Insyirah akan memulakan persekolahan rendahnya tahun depan, iaitu Darjah 1. Rupanya kami terlewat kerana terdapat yang lebih awal lagi mendaftarkan anak-anak mereka.
Bukan mudah nak masuk sekolah integrasi ini. Perlu melalui ujian kelayakan yang merangkumi pelajaran BM, BI, BA, MATH dan Jawi.
Ujian Kelayakan Masuk - 30 Mei 2009, Sabtu, 8.30 hingga 10.30 pagi
Keputusan Ujian - 30 Jun 2009
Calon yang berjaya perlu membuat pengesahan pendaftaran mulai 1 - 15 Julai 2009
Di usia kami 30 tahun, Insyirah berusia 7 tahun dan Darjah 1. Abang Amir pula berusia 5 tahun, tak sabar dah nak ke sekolah kerana melihat Insyirah ke sekolah setiap hari. Bila mengenangkan anak-anak semakin dewasa dan mula bersekolah, terasa umur kami semakin meningkat. Alhamdulillah. Memikirkan umur yang semakin meningkat, maka bermuhasabah lah hati-hati kami mengenangkan kualiti ibadah dan kehidupan pada usia yang telah ditinggalkan. Serta melihat kepada setiap kekurangan yang perlu diperbaiki.
Saya merasa agak kaget juga mengenangkan perlunya persiapan di pihak saya untuk memantau perkembangan anak-anak. Saya yang kerisauan berlebihan apabila mengenangkan Insyirah akan menduduki ujian kelayakan. Maka, saya mula menyusun jadual pembelajaran untuk Insyirah menghadapi ujian tersebut.
Saya membelikan Insyirah buku-buku latihan untuk Darjah 1 untuk dia praktiskan. Walaupun Insyirah belum menduduki Darjah 1, namun dia mampu untuk menguasai 80% silibus Darjah 1. Tetapi itu memerlukan pemantauan dan bantuan saya. Saya sedang melatih beliau menyiapkan latihan-latihan Darjah 1 tanpa bantuan saya kerana saya memberitahunya bahawa di hari ujian itu nanti, saya tiada disisinya untuk membantu.
Saya sedar ini sekadar usaha saya untuk anak-anak. Doa dan pengharapan sepenuhnya saya mohon kepada Allah agar memberkati usaha saya dan melimpahkan kejayaan itu kepada anak-anak. Kejayaan itu bukan untuk mengharapkan kehebatan dan pujian di dunia, tetapi sebagai persediaan bertemu Allah di akhirat kelak. Persediaan sebagai seorang hamba yang berkualiti tinggi untuk dihadiahkan Syurga, kerana itu matlamat akhir kehidupan kita ini.
Selain ke Sekolah Integrasi ada yang mencadangkan ke Sekolah Convent, Al Amin dan sebagainya. Namun apakah justifikasinya? Itu yang perlu difikirkan. Hubby pula lebih mengambil kira silibus yang diaplikasikan samaada seiring dengan kehendak Islam di akhir zaman ini. Adakah Al Quran menjadi teras utama sekolah-sekolah kerajaan kini?
Setiap ibu bapa pasti mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka dari segi pendidikan. Pendidikan yang baik dari ibu bapa dan para guru akan melahirkan umat yang cemerlang menurut Islam. Namun peranan ibu bapa sebagai pendidik lebih kepada SI PENGASIH DAN SI PENYAYANG. Ia kemudiannya membantu mereka mengikuti pendidikan oleh para guru.
Saya bersyukur mempunyai seorang suami yang amat pengasih dan penyayang kepada anak-anak. Saya pula yang kelihatan lebih "ruler" kepada anak-anak. Namun, anak-anak tetap mentaati saya kerana adakalanya saya berperanan sepenuhnya sebagai seorang abi dan juga umi. Dua peranan dalam satu masa. Bila hubby tiada, sebagai "ruler" saya perlu kuat dan tak mudah patah. Bila hubby ada, terasa beban peranan itu dikurangkan. Begitulah hubung kaitnya diantara peranan seorang bapa, ibu dan anak-anak dalam sebuah keluarga. Adakalanya tidak setiap masa ianya indah, pasti ada sedikit duka dan pahitnya. Namun, itulah sebuah kehidupan.
Saya perlu menyambung menyiapkan research saya kerana perlu dihantar esok. Saya mohon kekuatan untuk terus menuntut ilmu dalam situasi masa yang amat padat dengan tanggungjawab lain sebagai hamba, isteri, umi dan "petugas".
Bak kata hubby, "Semakin tinggi ilmu kita, sepatutnya semakin rasa kerdil kita disisi Allah, bukan semakin kita mendabik dada dan berbangga". Insya Allah.
Wasalam.






No comments:
Post a Comment