Malam Sabtu, pukul 11, kami berkumpul di Masjid Al Munawarah, Seksyen 27, Shah Alam. Sahabat-sahabat lain akan menaiki bas manakala saya sekeluarga berserta anak2 menaiki kereta sendiri. Ini kerana kami merancang untuk bermalam di Kemaman, Terengganu.
Anak-anak tidur sepanjang perjalanan. Saya tidak tidur menemani "pemandu", namun kadang-kala tersengguk-sengguk juga. Dikesempatan saya terlena, "pemandu" akan memecut sehingga 180 km/jam. Lebuhraya Karak yang sempit menyedarkan saya apabila "pemandu" terpaksa menekan brek. Alhamdulillah. "Pemandu" terus memandu kepada had yang selamat. :)
Kami tiba di Masjid Geliga, Kemaman untuk solat Subuh dan bersiap-siap. Sebelum ke tempat majlis, dapat juga saya bersarapan Nasi Dagang yang dibungkus dalam daun pisang. Sejak pulang dari Jordan, saya setiap minggu akan makan Nasi Dagang. Mungkin kerana kenangan "masak Nasi Dagang di MSD bersama hubby dan Ust Kay Ree" dahulu. Alhamdulillah, terdapat satu restoran iaitu Restoran Ulik Mayang yang berhampiran pejabat saya yang nasi dagangnya memang best.
Saya sekeluarga berserta sahabat-sahabat yang lain sebenarnya menghadiri satu Majlis Maulud yang dianjurkan oleh Ikatan Pengkajian Tauhid Tasawuf yang berlangsung di Dewan Dato' Seri Amar Diraja, Kemaman, Terengganu. Muslimin dan Muslimat yang hadir dari setiap pelusuk negara termasuk penduduk Terengganu yang comel-comel.
Aturcara Majlis :
- Bacaan Al Quran dari Qari Jemputan
- Qasidah 1
- Tausiah oleh Ustaz Dasuki bin Mohamed
- Tausiah oleh Ustaz Hj Razali bin Hj Daud
- Qasidah 2
- Tausiah oleh Ustaz Mustaffa Kamal bin Hamzah
- Deklamasi Sajak "Ya Rasulullah"
- Qasidah 3
- Tausiah 4 dan Doa Munajat oleh Tokku Hj Ibrahim Mohamad Asy Syathari
- Qasidah 4
- Penutup dengan selawat beramai-ramai.
Setiap Tausiah diselang seli dengan Selawat dan Qasidah yang bersemangat dan meruntun hati oleh anak-anak dari Madrasah Al Hidayah Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Apabila saya memberi tumpuan sepenuhnya dengan menghayati Tausiah yang diberikan berserta berselawat dan berqasidah bersama-sama, hati ini merasa teramat cinta dan rindukan Rasulullah. Syukur, anak-anak juga bersemangat bersama-sama berselawat dan berqasidah tanpa sebarang kerenah. Hati berasa sayu sehingga mengalirkan air mata deras mengenangkan betapa kasihnya Baginda kepada umatnya, namun kita sebagai umatnya adakalanya masih lupa dan lalai.
Syukur pada Allah yang membuka hati-hati kami untuk kebaikan. Syukur pada Allah kerana mengurniakan saya seorang "pemandu" yang sentiasa membawa saya dan anak-anak ke majlis seumpama ini.
Post selepas ini saya akan letak gambar-gambar sebagai kenangan.
Ketika berselawat dan berqasidah, kami disembur air mawar (bukan gas pemedih mata). Kata "pemandu", orang arab akan sembur minyak wangi berbotol-botol ketika sedang "enak" berselawat dan berqasidah. MEMANG TERASA "ENAK" BERSELAWAT DAN BERQASIDAH DENGAN HATI YANG TENANG, BERSEMANGAT DAN PENUH KASIH SAYANG. Selesai majlis, para tetamu diberi bunga telur setiap seorang. Kata "pemandu", orang arab pula akan beri manisan atau gula-gula atau coklat kepada para tetamu.
Isyraf dapat dikucupi oleh Tokku. Amir pula malu-malu. Para tetamu juga diberi makan tengahari ala Terengganu, nasi dagang, kuah kari dan ikan masin. Menyelerakan sangat. Selesai makan dan wida' bersama sahabat-sahabat yang menaiki bas, kami merancang untuk aktiviti sehingga esoknya.
Kenangan manis berilmu di Kemaman, Terengganu tidak berakhir disini. Akan disambung nanti.
Wasalam.






2 comments:
Saya cuba nak attach klip video majlis selawat dan qasidah yang subhanallah memang mengujakan, tapi tak boleh. sapa boleh tolong?
ooo akk nak attachkan guna yg dr blogspot ni punye ye.. dulu ayu pun ada mslh sama..so, ayu daftr youtube.com, upload dr situ je.. then baru2 ni blh lak guna upload dr blogspot ni.. huhu
Post a Comment