.: razyana :.

My photo
Kajang, Selangor, Malaysia
HambaNya, Pencinta Rasulullah SAW, Dikurniakan 4 permata berharga, Penuntut ilmu selamanya beserta 4 nilai utama dalam hidup ini, Ketaqwaan kepada Allah, Kecintaan pada Rasulullah, Kasih sayang berkeluarga dan Ilmu sepanjang hayat. Email : ilyana8@hotmail.com, izzar@hotmail.com

Friday, June 19, 2009

Konvensyen Baitulmal Kebangsaan


KONVENSYEN BAITULMAL KEBANGSAAN1430H/2009M
“Baitulmal: Masihkah Relevan?”

Tarikh : 24 hingga 25 Jun 2009
Tempat : Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur
Anjuran Bersama : Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri &
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)
Perasmian oleh : Y.A.B. Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

PENDAHULUAN

Konvensyen ini merupakan suatu penggarapan ke arah menyemarakkan semula fungsi dan peranan institusi Baitulmal di Malaysia. Institusi ini suatu ketika dahulu dilihat sebagai institusi perbendaharaan dan kewangan yang tertinggi dalam negara yang mengamalkan ajaran Islam. Peranannya dalam menjana kekuatan dan keseimbangan ekonomi sudah tidak mampu untuk dipertikaikan lagi. Namun begitu, seiring dengan peredaran masa, penganjur percaya, institusi ini perlulah diperhebat semula supaya kekayaan sebenar umat Islam dapat dimanfaatkan secara bersama seoptimum yang mungkin.

OBJEKTIF

Antara lain, objektif penganjuran Konvensyen ini adalah untuk :

1. Menjana dan mengumpul idea serta pemikiran para cendekiawan Islam dari pelbagai lapangan seperti pentadbiran, akademik, undang-undang dan sebagainya dalam memperkasa institusi Baitulmal;

2. Perkongsian pengalaman dan pengetahuan dalam pentadbiran dan pembangunan institusi Baitulmal oleh para ahli akademik, pakar undang-undang dan juga wakil agensi agama Islam dari seluruh negara;

3. Mengkaji fungsi, peranan dan konsep Baitulmal pada zaman kegemilangan Islam untuk diterapkan kembali dalam usaha memperkasa institusi Baitulmal di semua negeri;

4. Memartabatkan institusi Baitulmal di negara kita selari dengan realiti dan perkembangan semasa seperti kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan juga Kerajaan Elektronik (e-Government); dan

5. Menggilap potensi-potensi Baitulmal sebagai tonggak kestabilan ekonomi ummah melalui pemantapan sumber sedia ada dan penerokaan sumber baru yang berpotensi untuk memperkasakan dana Baitulmal.

PESERTA

Konvensyen ini dijangka akan dihadiri oleh seramai 300 orang peserta dari seluruh negara yang terdiri daripada ahli-ahli akademik di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta, Agensi Korporat, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN), Perbadanan/Tabung Baitulmal, Syarikat Mengurus Zakat (SMZ), para Mufti, para pegawai dari agensi berkaitan, para penuntut dalam bidang yang berkenaan serta individu lain yang berminat untuk mendalami isu dan bidang berkaitan Baitulmal.

PEMBENTANGAN DAN KERTAS KERJA

Sebanyak 13 kertas kerja akan dibentang, dibincang dan dirumuskan untuk menghasilkan gagasan resolusi yang boleh dipanjangkan kepada agensi-agensi berkaitan untuk dikaji dan diambil tindakan susulan sewajarnya dalam memperkasa institusi Baitulmal di Malaysia. Para pembentang dipilih dari kalangan ahli akademik tersohor, wakil pentadbiran Baitulmal di Negeri-negeri, agensi-agensi korporat dan juga pakar perundangan. Pakar Syariah dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia juga tidak ketinggalan mengambil bahagian.

Di samping itu, dijangkakan lebih lapan kertas kerja sisipan akan disertakan untuk bacaan dan penelitian oleh para peserta.

YURAN PENYERTAAN

Tiada sebarang yuran dikenakan.

KETERANGAN LANJUT

Untuk sebarang keterangan lanjut, mereka yang berminat bolehlah menghubungi :

URUS SETIA
KONVENSYEN BAITULMAL KEBANGSAAN 1430H/2009M
ARAS 7, BLOK E2, KOMPLEKS E
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62502 PUTRAJAYA
Tel: 03-8883 7400
Faks: 03-8883 7440
Email: jawhar_mal@jawhar.jpm.my

----------------------------------------

Saya telah mendaftar tempat dan berharap sahabat-sahabat lain juga berkesempatan untuk menyertainya. Insya Allah ... jumpa disana.

~ ILMU SEPANJANG HAYAT ~

1 comment:

dollah said...

maklumat yg bermanfaat!
teruskan ...
byk 'kabel' nampak :)