Message dari hubby, meminta saya membaca satu entry di Saifulislam.com.
"same feeling with me"
"umi adalah teman bicara abang yang terbaik"
Sudah seminggu Ummu Saif ditahan di wad.
Hujung minggu ini, cadangannya ialah untuk mengambil ‘cuti’ pulang ke rumah sehari dua sebelum kembali ke wad. Tetapi doktor pakar yang menyelia Ummu Saif ke Sabah. Mungkin ke kawasan yang tiada liputan telefon. Doktor pakar berkenaan gagal dihubungi dan Ummu Saif perlu melupakan hasratnya pulang bercuti ke rumah.
Seminggu seterusnya, kekal di wad. Di kotak empat segi berdinding langsir berwarna merah jambu.
Warna yang lembut untuk wanita.
Tetapi warna yang juga digunakan untuk mendera mental banduan yang ganas. Di sesetengah penjara, ada bilik yang dinamakan The Pink Room. Ia digunakan untuk mengurung seketika banduan yang ganas. Warna merah jambu itu mempunyai kesan psikologi yang bisa melemahkannya.
Justeru saya faham, bagaimana perasaan Ummu Saif duduk di atas katil dengan langsir merah jambu yang berada di sekelilingnya. Namun keselamatan diri dan anak di dalam kandungan, harus sentiasa menjadi keutamaan.
DI RUMAH
Seminggu, saya cuba meneruskan kehidupan seperti biasa. Soal letih melayan kerenah anak-anak tidaklah begitu menjadi masalah. Agak letih, tetapi sudah biasa.
Namun sisi paling berat yang saya rasa, adalah kehilangan teman bercakap.
Saya amat perlu kepada teman untuk berbual dan isteri saya adalah insan paling cemerlang memainkan peranan itu. Selama ini, segala tekanan, gangguan fikiran, luka-luka dan miang sembilu liku dakwah seharian, selalu reda dengan perbualan saya bersama isteri.
Itulah kehilangan terbesar saya.
Termenung sendirian di bilik.
Tersepuk di atas sejadah.
Munajat kepada Allah merasionalkan fikiran.
Tetapi sisi cacat hidup tanpa teman bicara tetap gagal saya sembuhkan.
GAGAL BERTAHAN
Walaupun begitu, ada juga sisi positifnya tatkala saya gagal bertahan. Saya gagal bertahan kerana isteri saya benar-benar separuh daripada diri saya. Ketiadaannya di sisi menjadikan separuh diri saya hilang. Masakan dengan mudah seseorang itu meneruskan hidup tanpa separuh dirinya?
Mungkin ini masanya saya dapat menyelami secebis daripada perasaan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam semasa kehilangan Khadijah. Dakwahnya semakin ditimpa mehnah, dunia makin sempit menghimpit jalan. Pulang ke rumah, tiada teman untuk meluahkan rasa. Hanya sebuah kesedihan, di celah kesunyian.
Saya tidak kehilangan isteri.
Cuma dia tiada di sisi.
Terima kasih kepada bonda yang menggagahkan diri datang dari kampung. Kehadirannya banyak membantu. Cuma sunyi yang satu itu, kekal sunyi yang tiada penawar.
Enam minggu seterusnya, kami semua harus bertahan.
Munajat kepada Allah merasionalkan segalanya, ameen.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com






No comments:
Post a Comment