.: razyana :.

My photo
Kajang, Selangor, Malaysia
HambaNya, Pencinta Rasulullah SAW, Dikurniakan 4 permata berharga, Penuntut ilmu selamanya beserta 4 nilai utama dalam hidup ini, Ketaqwaan kepada Allah, Kecintaan pada Rasulullah, Kasih sayang berkeluarga dan Ilmu sepanjang hayat. Email : ilyana8@hotmail.com, izzar@hotmail.com

Monday, May 18, 2009

@ Setitis Air Mata Ibu 2

Salam,

Isi-isi pengisian untuk talkshow semalam boleh diperolehi di http://www.saifulislam.com/ dengan lebih lanjut.

Cuma, apa yang menarik perhatian saya ialah tentang doktrin "LELAKI - 9 Akal dan 1 Nafsu" manakala "WANITA - 1 Akal dan 9 Nafsu" dimana persepsinya patut diubah kepada "LELAKI - 9 Rasional dan 1 Emosi" manakala "WANITA - 1 Rasional dan 9 Emosi".

Ia timbul dari isu perbincangan mengapa bapa tidak mengandung? Kenapa tugas yang berat untuk mengandung itu Allah pertanggungjawabkan kepada golongan wanita. Secara literalnya pasti semua akan menjawab itu ketentuan Allah. Namun sebenarnya banyak perkara hikmah yang boleh dikupas dalam mengkaji ketentuan Allah yang hebat itu.

Ia boleh dikupas dari konsep RASIONAL dan EMOSI yang ada dalam diri lelaki dan wanita bagi menggantikan konsep AKAL dan NAFSU.

Kelebihan yang melibatkan RASIONAL, Allah anugerahkan kepada golongan lelaki dimana kehebatan seorang lelaki ada pada RASIONALnya.

Manakala, kelebihan EMOSI yang Allah anugerahkan kepada golongan wanita itulah yang memberi kekuatan kepada wanita untuk "mentadbir" dan "memelihara" satu alam persinggahan iaitu ALAM RAHIM.

EMOSI itu jugalah yang menjadikan seorang wanita itu penuh dengan cinta dan kasih sayang untuk dicurahkan kepada suami, anak-anak dan masyarakat dalam sudut-sudut yang berbeza. Dengan EMOSI juga Allah menjadikan wanita sebagai sumber kekuatan dan panduan kepada suaminya kerana kadang-kala apabila terlalu RASIONAL, seorang lelaki akan tersasar dari RASIONAL yang sebenar.

Dari sini juga jelas menunjukkan bahawa wanita dan lelaki saling melengkapi di antara satu sama lain. Selain keduanya menjadi "CERMIN DI DUNIA" untuk menatapi "KEINDAHAN DI SYURGA BERSAMA".

Anak-anak yang lahir adalah gabungan RASIONAL dan EMOSI suami dan isteri. Anak-anak adalah suatu fitrah, kurnian Allah.

Ibu bapa perlu memberi nafkah kepada anak-anak dari sudut NAFKAH FIZIKAL, NAFKAH AKAL @ FIKIRAN, NAFKAH EMOSI & NAFKAH ROHANI @ DIDIKAN AGAMA.

Nafkah Fizikal, selain mendidik anak-anak menutup aurat, memelihara anggota tubuh badan mereka, yang paling utama adalah sentuhan, pelukan dan kucupan. Belaian akan melembutkan hati mereka dan merangsang jiwa mereka untuk mentaati ibu bapa.


Nafkah Akal @ Fikiran pula ialah ibu bapa perlu sentiasa positif dengan anak-anak. Ibu bapa perlu belajar menjawab setiap soalan anak-anak walau kadang kala pelik dan tidak logik dengan "kebenaran" walaupun mungkin anak-anak itu tidak memahami jawapan ibu bapa.

Maksudnya, sebagai contoh :

Anak : Mama, kenapa kita tidak boleh duduk atas bantal?

Mama : Ehh, tak boleh ... nanti tumbuh bisul kat b**t*t.

Adakah itu jawapan "kebenaran". Tidak dinafikan petua dahulu kala yang mesti dihormati, namun jawapan yang rasional perlulah diberikan kepada anak-anak.

Cadangan jawapan : Ehh ... tak boleh. Bantal adalah untuk kita mengalas kepala ketika tidur bukan tempat untuk diduduk. Di kepala Allah letakkan otak untuk manusia berfikir dengan bijak dan waras.

Banyak lagi jawapan yang benar yang boleh setiap ibu bapa berikan kepada soalan2 seperti itu asalkan memberi satu pemahaman yang jelas kepada anak2 yang secara tidak langsung akan mendidik akhlaknya.

Apabila anak2 dilayan dengan jawapan yang bernas, mereka akan belajar berfikir dan menganalis dengan baik dan bijak.

Nafkah Emosi pula ialah ibu bapa mesti sentiasa menunjukkan perasaan kasih dan sayang pada anak-anak. Dan yang paling utama ialah sifat memaafkan anak-anak, iaitu maaf yang bersyarat. Setiap kesalahan akan dimaafkan dengan syarat-syarat yang sesuai dengan kesalahan. Maka, jiwa anak-anak tidak akan tertekan dan merasakan mereka masih ada ruang untuk memperbaiki kesalahan yang telah mereka lakukan.

Namun sudah pastilah nafkah kepada anak-anak ini berbeza mengikut fasa pertumbuhan dan umur kanak-kanak. Fasa 1 - 1 hingga 7 tahun, Fasa 2 - 8 hingga 12 tahun, Fasa 3 - 13 hingga 18 tahun dan Fasa 4 - 18 sehingga dia berkahwin. Namun begitu konsep nafkah kepada anak-anak ini adalah berterusan SELAGI HAYAT DIKANDUNG BADAN.

Seandainya perkataan I LOVE YOU boleh diungkapkan kepada pasangan sebagai tanda kasih dan sayang, ia adalah lebih utama diungkapkan kepada anak-anak sejak dari kecil. Kepada yang sedang hangat bercinta, apa yang dirasa apabila I LOVE YOU diungkap? Pastilah satu debaran panas yang tidak terkata dan menjadi igauan. Begitula jua kepada anak-anak, mereka akan berasa debaran kasih yang mendalam kepada ayah dan ibu.

Anak-anak perlu didengar setiap keluhan mereka yang akan membuatkan mereka berasa di hargai. Saat yang paling sesuai adalah sebelum mereka tidur. Kita perlu pastikan anak-anak tidur tanpa sebarang bebanan di dalam hati dan fikiran mereka. Selain kita bercerita kepada anak-anak sebelum tidur, cuba sekali sekala kita minta anak-anak yang bercerita kepada kita. Saya sedang mempraktikkan di mana anak-anak perlu bercerita kepada saya sebelum tidur. Tidak kisah apa jua cerita kerana mungkin apa yang mereka ceritakan atau luahkan adalah apa yang terbuku dalam hati dan fikiran mereka. Selain bercerita, ajaklah mereka berzikir dengan alunan-alunan yang menarik.

Apabila mereka tidur dalam keadaan hati yang tenang, mereka akan bangun dengan semangat dan berkeyakinan. Anak-anak yang tenang hatinya sebelum tidur tidak akan mudah terjaga dari tidur dan menangis. Andainya, anak-anak bangun dari tidur dan menangis, pasti ada sesuatu yang mengganggu hati dan perasaan mereka.

Hubby saya mempraktikkan saat sebelum anak-anak tidur adalah saat untuk bermanja dan berkasih sayang. Ia dipraktikkan sejak mereka kecil. Dan Alhamdulillah, ketiga-tiga anak saya setakat ini Insya Allah tidak pernah lagi bangun di tengah malam dan menangis.

Hubby saya juga sering mengganggu anak-anak yang sedang tidur dengan bercakap-cakap dengan mereka. Contohnya :

Abang Amir yang telah tidur, hubby saya akan bercakap kepadanya dengan bertanyakan soalan-soalan. Soalan yang biasa diajukan ialah "Abang Amir sayang Abi?". Soalan itu akan diulang beberapa kali. Dan, dalam keadaan yang sedang tidur, Abang Amir akan menganggukkan kepala dan kadang kala membalas dengan perkataan "Sayang" dengan mata terpejam.

Nafkah Rohani @ Didikan Agama adalah santapan untuk hati dan jiwa anak-anak yang bertujuan melahirkan anak-anak berakhlak mulia, berjiwa kental dan berfikiran positif. Terdapat pelbagai kaedah bagaimana nafkah rohani ini boleh diberi kepada anak-anak. Selain melihat kepada kemampuan para ibu bapa, matlamat ibu bapa kepada anak-anaknya juga adalah terpulang kepada setiap ibu bapa.

Alhamdulillah, talkshow ini banyak memberi panduan kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak dan terutamanya mendidik hati dan jiwa ibu bapa itu sendiri. Andainya di dalam hati dan jiwa ibu bapa itu sendiri tidak diliputi dengan roh-roh Islam dan Iman, bagaimana sumber kekuatan untuk mendidik hati dan jiwa anak-anak itu mencapai kejayaan. Walau bagaimanapun, adakalanya ibu bapa di duga dengan sedikit kegagalan dalam mendidik anak-anak, anggaplah itu sebagai "teguran" daripada Allah untuk kita mengkaji semula apa yang terlebih dan mungkin terkurang.

Asasnya, displin-displin yang Allah gariskan adalah panduan kepada kita untuk mendisplinkan diri dan anak-anak. Dengan pertolongan dan kasih sayang Allah, Insya Allah kita akan berjaya menghadapi mehnah dunia. Ameen.

Wasalam.

Ini buat pedoman diriku dan putera puteri yang ku kasihi serta suami tercinta. Semoga kita sekeluarga sentiasa berusaha membaiki kelemahan-kelemahan hati dan jiwa dengan bantuan kasih sayang Allah yang menjadikan kita sentiasa dalam kasih sayang. Ameen.


Nota Insyirah

2 comments:

Kak Lin S Alam said...

You’re inspired and hearten!

We’re Muslim and Love Islam.

Takbir!

Anonymous said...

Doktor mana cakap boleh tumbuh bisul? :)