.: razyana :.

My photo
Kajang, Selangor, Malaysia
HambaNya, Pencinta Rasulullah SAW, Dikurniakan 4 permata berharga, Penuntut ilmu selamanya beserta 4 nilai utama dalam hidup ini, Ketaqwaan kepada Allah, Kecintaan pada Rasulullah, Kasih sayang berkeluarga dan Ilmu sepanjang hayat. Email : ilyana8@hotmail.com, izzar@hotmail.com

Wednesday, July 22, 2009

Bercerita Kisah Isra' Mikraj

Salam,

Skrip penceritaan saya untuk kanak-kanak di suatu program sempena Isra' dan Mikraj di Masjid Negeri Shah Alam hujung minggu lalu. Harapnya mereka faham selepas mendengar saya bercerita dan melihat aksi-aksi saya :)

Sumber utama : Al-Mawsu’ah Lil-Atfal Al-Muslimin – E-Media Publication Sdn Bhd.

p/s : Abi, umi nak koleksi penuh ensiklopedia ni, boleh tak? :)

Anak-anak yang dirahmati Allah sekalian,

Peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah salah satu mukjizat yang telah dikurniakan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Israk ialah perjalanan baginda pada waktu malam dari Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis. Mikraj pula ialah perjalanan baginda selepas itu dari Masjidil Aqsa ke langit hingga melepasi Sidratul Muntaha. Peristiwa ini berlaku pada malam 27 Rejab (menurut pandangan sebahagian ulama), iaitu selepas 11 tahun baginda menjadi rasul.

Kehilangan orang tersayang

Peristiwa Israk dan Mikraj ini berlaku pada waktu malam sebagai cara Allah SWT mengembirakan hati Rasulullah SAW. Diriwayatkan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj ini berlaku selepas Nabi Muhammad SAW kehilangan dua orang yang tercinta dalam hidupnya iaitu bapa saudaranya, Abu Talib dan isteri kesayangannya, Siti Khadijah Binti Khuwailid RA. Kehilangan mereka berdua ini amat dirasai oleh Rasulullah SAW kerana baginda amat rapat dengan mereka berdua. Bahkan, Abu Talib dan Khadijah RA banyak memberi semangat dan dorongan kepadanya dalam berdakwah dan berjuang untuk menegakkan agama Islam. Sejak kematian mereka berdua, baginda selalu berada di Kaabah untuk beribadat dan bermunajat kepada Allah SWT. Maka pada suatu malam, Allah SWT t
elah mengurniakan mukjizat Israk dan Mikraj kepada baginda untuk menenangkan hatinya.

Pertemuan dengan Jibril

Ketika baginda sedang khusyuk beribadat di Kaabah pada malam 27 Rejab itu, tiba-tiba baginda didatangi oleh Malaikat Jibril untuk menyampaikan perintah supaya membawa baginda menemui Allah SWT. Sebelum berangkat pergi, Jibril melakukan pembedahan di bahagian hati baginda. Jibril mengeluarkan darah hitam dan membersihkannya dengan air zamzam. Selepas itu,
Rasulullah SAW dibawa menuju ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis. Di sana, baginda menunaikan solat sunat 2 rakaat dan di belakang baginda, para nabi dan rasul menjadi makmum. Setelah selesai menunaikan solat tersebut, malaikat Jibril membawakan dua gelas minuman untuk dipilih oleh baginda. Gelas pertama berisi arak dan gelas kedua berisi susu. Baginda memilih untuk meminum susu, lalu Jibril tersenyum sebagai pengakuan bahawa pilihan baginda adalah tepat. Selepas selesai urusan Rasulullah SAW di Masjidil Aqsa, Jibril memberi perkhabaran bahawa mereka akan meneruskan perjalanan untuk meninggalkan bumi dan dengan menaiki seekor binatang yang bernama Buraq. Nama binatang ini diambil daripada kalimah BARQ atau pancaran kilat. Dikatakan bahawa apabila baginda menunggang Buraq, perjalanan yang mengambil masa berbulan-bulan lamanya hanya mengambil masa seminit untuk sampai. Ketika baginda menunggang Buraq hingga ke beberapa lapisan langit, Rasulullah dipertemukan dengan beberapa orang rasul yang terdahulu. Antaranya Nabi Adam AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Yusuf AS, Nabi Musa AS, Nabi Isa AS dan lain-lain. Apabila Rasulullah SAW dan Jibril melepasi tujuh lapisan langit sehingga sampai ke Sidratul Muntaha, Jibril terpaksa berhenti di situ. Selepas itu, baginda meneruskan perjalanan bersendirian untuk menemui Allah SWT.

Menerima Wahyu Solat

Ketika Rasulullah SAW meneruskan perjalanan inilah baginda mendapat wahyu daripada Allah SWT untuk mendirikan solat bagi diri dan umatnya. Pada mulanya, bilangan solat sehari semalam adalah sebanyak 50 waktu. Apabila baginda turun membawa amanah itu, baginda bertemu dengan Nabi Musa AS. Nabi Musa AS menyedarkan baginda bahawa perintah itu sangat berat bagi umatnya. Oleh sebab itu, baginda memohon keringanan waktu solat itu daripada Allah SWT. Akhirnya Allah SWT mengurangkan waktu solat kepada menjadi lima waktu sehari semalam seperti sekarang. Walaupun diberi keringanan ini, Allah SWT tetap memberi pahala solat 5 waktu ini sama seperti 50 waktu yang asal. Inilah antara bukti bahawa Allah SWT itu bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Melihat Seksaan Neraka dan Nikmat Syurga

Apabila selesai Rasulullah SAW mendapat amanat dan wahyu daripada Allah SWT maka baginda turun semula ke bumi. Dalam perjalanan pergi dan balik itu, baginda melihat berbagai-bagai nikmat syurga dan seksaan neraka. Antaranya ialah baginda melihat sekumpulan manusia memotong lidah mereka yang panjanng terjelir keluar. Jibril mengatakan itu adalah perumpamaan umat baginda yang suka membuat fitnah, mengumpat dan melaga-lagakan orang. Rasulullah SAW juga tidak ketinggalan untuk melihat nikmat di syurga seperti melihat kanak-kanak yang berseri-seri wajahnya sedang bermain di dalam taman yang indah sekali. Segala peristiwa yang telah dilihat itu menambahkan keimanan baginda kepada Allah SWT. Ia juga secara tidak langsung mengurangkan kesedihan baginda terhadap kehilangan orang yang tersayang.

Jadi, sekarang anak-anak semua, bertambah tak keimanan anak-anak apabila mendengar cerita Aunty ni?

Bertambahhhhhhhhh

Banyak ke sikit?

Sederhana ajerrrrrr

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya bertambah juga kan. Bagus-bagus.

Ejekan daripada Abu Lahab

Apabila sampai kembali ke Makkah pada waktu paginya, baginda berhasrat untuk menyampaikan peristiwa yang dialaminya kepada umat Islam. Tidak lama kemudian, baginda didatangi oleh Abu Lahab lalu baginda menceritakan peristiwa itu dengan harapan dapat membuka hati Abu Lahab untuk memeluk Islam. Malangnya, kisah yang diceritakan oleh baginda telah dipersenda dan diejek oleh Abu Lahab dengan mengatakan bahawa baginda berdusta.

Abu Lahab terus membawa perkhabaran itu kepada masyarakat Makkah dengan hasrat mengumpulkan mereka dan mengejek baginda beramai-ramai. Antara orang pertama yang dijumpai oleh Abu Lahab ialah Saydina Abu Bakar RA. Abu Lahab menceritakan peristiwa yang dialami oleh Rasulullah SAW kepada Abu Bakar RA dengan harapan beliau akan bersetuju dengannya bahawa Rasulullah SAW adalah pendusta. Sangkaannya meleset kerana Abu Bakar RA terus beriktikad bahawa apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW itu adalah benar. Semenjak hari itu, Abu Bakar RA telah digelar As Siddiq iaitu orang yang sentiasa membenarkan kata-kata Rasulullah SAW.

Bermula hari itu, Nabi Muhammad SAW telah mengajarkan para sahabatnya untuk menunaikan solat lima waktu mengikut ketetapan waktunya. Pada awalnya, Jibril memberi tunjuk ajar kepada baginda dan baginda menjadi makmum. Selepas itu, baginda pula menjadi imam kepada para sahabatnya. Setelah kewajipan ini menjadi sebati dalam diri para Sahabatnya, mereka terus melakukannya dengan tekun. Semenjak itu iman umat Islam bertambah kuat dan perpaduan mereka jelas kelihatan, khasnya ketika solat berjemaah bersama baginda di masjid.

Maka itulah serba sedikit sirah Isra dan Mikraj ini. Jadi apakah kesimpulan yang boleh kita buat dari kisah ini?

1. Keimanan kita kepada Allah mesti semakin bertambah kerana kisah ini membuktikan kehebatan dan keagungan Allah SWT. Dalam kisah ini kehebatan Allah dapat dilihat dan dihayati dari slot perjalanan Rasulullah merentasi bumi dan langit dalam masa yang singkat menaiki Buraq. Selain itu, bukti nikmat-nikmat di syurga, seksaan di neraka. Apabila kita percaya kepada hari akhirat dengan adanya syurga dan neraka, kita akan menepati salah satu rukun iman. Rukun itu seolah undang-undang yang kita perlu patuhi. Kita ada Rukun Iman dan Rukun Islam yang perlu anak-anak patuhi.

2. Dari kisah ini juga kesan yang paling besar kepada umat Islam ialah pensyariatan menunaikan solat. Solat merupakan asas dan tiang kepada agama. Sesiapa yang mendirikan solat bermakna dia mendirikan agama tetapi sesiapa yang meninggalkan solat bermakna dia meruntuhkan agama. Oleh itu anak-anak semua wajib memelihara solat fardu 5 waktu sehari. Antara keistimewaan solat ini ialah ia difardukan di langit iaitu semasa peristiwa Mikraj Nabi Muhammad SAW berbeza dengan ibadah-ibadah yang lain difardukan di bumi.

Untuk lebih pemahaman anak-anak boleh bertanya dengan ustaz dan ustazah di sekolah nanti yer. Mohon maaf di atas salah silap Aunty sepanjang bercerita ini kerana yang baik itu pasti segalanya dari Allah. Sekian, wasalam ...

Untuk sesi soal jawab, tak larat dah nak tulis :) sebab kebanyakannya tak relevan, buat tergelak aje ...

Yang penting anak-anak umi pun mendapat manfaat darinya.

Wasalam.

No comments: