Salam Aidiladha buat umat Islam sedunia.
Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan tahun yang kita lalui dengan hari-hari yang mempunyai kelebihan dan keberkatan berbanding hari-hari yang lain. Seterusnya menjadikannya musim untuk kita menggandakan pahala dan menyuburkan kebaikan.
Selawat dan salam ke atas Pembawa Hidayah yang bersifat Amanah dan bersabda "Tidak ada hari yang mana amal soleh lebih disukai Allah daripada hari-hari ini (Sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah dan hari-hari Tasyriq). Para sahabat bertanya "Wahai Rasulullah 'Walaupun Jihad di jalan Allah?' Baginda menjawab 'Bukan juga jihad di jalan Allah, kecuali seorang lelaki yang keluar dengan diri dan hartanya kemudian dia tidak kembali semula dengan apa-apapun".
Seawal pukul 4 pagi saya bangun menyiapkan juadah untuk rumah Sekamat. Syukur saya sempat sampai sebelum Solat Sunat Aidiladha di masjid. Saya bertolak keluar untuk pulang ke kampung mama pukul 10.30 pagi. Sempat juga saya menapau Marble Cheese Cake dan Kek Lapis Berempah. :)
Tahun ini, seperti 10 tahun yang berlalu, keluarga mama saya akan berkumpul di kampung kelahiran mereka dan menjalankan ibadah korban kami sendiri. Bermula dari sesi penyembelihan lembu, melapah daging, membahagikan, membungkus, mengagihkan ke serata kampung hingga memasak untuk kenduri doa selamat pada malamnya, kami lakukan secara gotong royong bersama. Memang meriah.
Cuma tahun ini, nenek @ uwan saya tiada bersama kami kerana beliau telah meninggal dunia pada April tahun ini. Memang sedih dan sayu terkenangkan beliau kerana beliau akan menjadi "bos" mengarahkan itu dan ini. Serta dengan kehebatannya memasak, perut kami sentiasa penuh dengan pelbagai juadah sepanjang hari. Kini, mama saya dan adik beradiknya pula menjadi "bos" mengarah anak-anak itu dan ini. Setiap mereka hebat dalam memasak jadi terlalu banyak sangat chef yang memberi komen terhadap kami, golongan anak-anak yang diarahkan memasak.
Dari pagi hingga ke malam, saya duduk di dapur. Anak-anak entah ke mana. Syukur, ada bibik menjaga Isyraf. Apabila Isyraf menjerit kelaparan, dapatlah saya berehat sebentar menyusukannya.
Antara menu kami semalam ialah waktu pagi, ketupat, lemang, kuah kacang, kari kerang, rendang ayam. Ini disediakan oleh para ibu. Tengahari, ketika para ibu dan bapa melapah daging, saya ditugaskan memasak Mee Kari untuk makan tengahari. Selain itu Bubur Kacang. Sesambil makan Mee Kari, juadah untuk kenduri doa selamat pada sebelah malam mula disediakan. Tugas saya ialah memasak 20 ekor Ikan Bawal Masam Manis, Manisan Seloncoi, dan Daging Panggang Black Pepper. Selain itu terdapat juga masakan yang dimasak oleh sepupu-sepupu yang lain iaitu menu utama Sup Daging dan Gear Box, Sayur Cendawan, Pulut Kuning bersama Kari Telur, Kek dan Sate. Banyak kan, sehingga saya tidak menjamah satu pun kerana tak larat nak tengok makanan yang banyak. Syukur saya sempat menapau setiap satu untuk dimakan hari ini kerana semua makanan itu habis! Alhamdulillah.
Dan sebab lain saya kurang berselera untuk makan ialah kerana hubby takde bersama kami, kerana apabila majlis korban begini, hubby adalah antara paling sibuk dan mengkecohkan suasana. Dan hubby yang paling berselera makan tanpa henti. Semua orang akan teruja melihat hubby yang berselera. Selain itu, kebiasaanya ketika hayat nenek @ uwan saya, pasti ada Asam Pedas Ikan Bagok. Uihhh memang sedap, makan itu sahaja dah cukup menyelerakan. Asam Pedas Ikan Bagok adalah kegemaran hubby, sebab itu nenek @ uwan saya akan menyediakannya walaupun hubby hanya mengenali dan merasai juadah ini selepas berkahwin dengan saya. :). Ia seperti masakan wajib keluarga kami.
Namun, yang menjadi kenangan ialah hujan turun sepanjang hari bermula dari subuh sehingga tengah malam. Dengan kekecohan majlis korban, anak-anak kecil yang merata serta kesibukan memasak, rumah menjadi agak padat kerana anak-anak tidak boleh bermain di laman. Tetapi hari ini cuaca agak panas pula. Pasti ada hikmah disebalik hujan lebat yang turun sepanjang hari. Amir juga kelam kabut sebelum penyembelihan kerana risaukan lembunya yang kesejukan.
Sesi Penyembelihan @ Korban
Amir berbaju merah yang risau dan sedih
Sesi melapah Uda Lotak, Abang Yein dan Rizal
Sup Gear Box kami
Kenduri Doa Selamat
Aidiladha ini semoga mendidik hati-hati kita bersyukur dengan rezeki dari Allah. Ia mengajar kami bersatu hati dalam melaksanakan amal ibadah. Mengeratkan silaturrahim di antara kita. Semoga hubungan persaudaraan kita semua berkekalan. Insya Allah. Jumpa lagi di Aidiladha 1430.
Wasalam.






No comments:
Post a Comment